HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Mei 2008

Video Lingam: Tengku Adnan tenang, AG arah siasat menyeluruh


(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang merupakan salah seorang daripada enam individu yang disyorkan untuk siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Diraja berkata, beliau menghadapi isu tersebut "dengan tenang."

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pula mengarahkan satu siasatan menyeluruh dijalankan meliputi semua aspek yang dinyatakan oleh Suruhanjaya Diraja Siasatan Mengenai Video Klip Datuk V.K. Lingam.

"Saya mahu satu siasatan adil dan saksama, bukan sahaja satu dua perkara, tetapi setiap perkara yang disenaraikan oleh Suruhanjaya Diraja," kata beliau kepada The Star semalam.

Pagi semalam, mStar Online difahamkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai isu tersebut.

Jelas Abdul Gani, beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi yang terlibat agar menjalankan siasatan perlu tanpa sebarang kelewatan.

Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mengesahkan bahawa beliau telah membaca kandungan laporan lengkap Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kesahihan klip video tersebut.

Ketika ditanya mengenai reaksi beliau terhadap kandungan laporan itu, dengan segera beliau menjawab: “Saya akan selesaikan sendiri. Mengapa anda harus risau? Saya tahu apa nak buat, tapi saya tak boleh beritahu apa yang akan dilakukan.”

Kata Tengku Adnan, beliau tiada masalah dengan apa yang dilaporkan oleh suruhanjaya berkenaan.

Minggu lalu Kabinet mengarahkan Peguam Negara untuk memulakan siasatan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya itu yang mula dijual kepada umum sejak semalam.

Selain Adnan, individu-individu yang turut disiasat ialah Datuk V.K. Lingam; tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan; dua bekas Ketua Hakim Negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tiada ulasan: