HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Mei 2008

PAS Pahang gesa kes jual tanah Umno disiasat secara menyeluruh
Basiron Abdul Wahab


TEMERLOH (Hrkh) - PAS Pahang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagaimana proses Umno memperolehi tanah dan menjual semula bagi memperolehi keuntungan segera.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, merujuk kepada pendedahan yang dibuat bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pahang, Dato' Ahmad Tajuddin Sulaiman yang mendakwa parti itu telah menjual tanah milik Umno di seluruh Pahang dengan memperolehi keuntungan sebanyak RM600 juta.

Tajudian dalam suratnya kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi, meminta presiden Umno itu menimbang dan mengambil tindakan displin terhadap pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub serta menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat kemungkinan wujud salah guna kuasa, penyelewengan atau rasuah dalam urusan penjualan 30,000 ekar tanah milik Umno dan Rangkaian Delima (Syarikat milik penuh Umno Pahang).

Menurut Tuan Ibrahim, rakyat ingin tahu bagaimana Umno dan syarikat miliknya begitu mudah memperolehi ribuan ekar tanah dan berapakah premium yang dibayar parti itu kepada kerajaan negeri serta berapa lamakah tempoh masa yang diambil untuk kelulusan permohonan Umno itu.

"Rakyat ingin tahu bagaimana Umno memperolehi tanah sebegitu luas, bagaimana proses promohonan dibuat, berapakah bayaran premium dikenakan dan berapa lamakah tempoh masa diperlukan untuk kelulusan tanah-tanah Umno itu," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Pahang, dekat sini.

Katanya. PAS memandang serius pendedahan Tajuddin itu kerana ia melibatkan kepentingan rakyat keseluruhanya.

Ini kerana katanya, rakyat biasa amat sukar untuk mendapat tanah malah ada permohonan mengambil masa puluhan tahun untuk diproses walaupun untuk tujuan penting seperti untuk tapak rumah kediaman dan sebagainya.

Malah, kata beliau masih ramai lagi rakyat jati Pahang tidak memiliki tanah sendiri.

Berbeza dengan Umno, dilihat begitu mudah mendapat tanah kerajaan dan menjualnya kepada pihak ketiga, suatu tindakan yang sangat tidak bertanggung jawab terhadap rakyat.

Ini kerana katanya, kebenaran untuk menjual, memajak atau menggadai tanah berada di tangan Menteri Besar iaitu Adnan Yaakub, dia pengerusi perhubungan Umno, dia mungkin pemegang amanah tanah-tanah Umno dan dia juga yang meluluskan sekatan terhadap penjualan tanah.

Menurutnya, walaupun isu pendedahan Tajudin ini membabitkan pergolakan dalaman Umno, tetapi ia turut memberi kesan kepada seluruh rakyat Pahang. Sementara itu Angkatan Muda Parti KeAdilan (AMK) Pahang telah membuat satu laporan polis terhadap pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub bersabit isu berkenaan di mana kemungkinan wujudnya salah guna kuasa, penyelewengan atau rasuah berdasarkan surat Tajudin terhadap Perdana Menteri.

Ketua AMK pusat, Syamsul Iskandar Mohd Akin yang turut mengiringi AJK AMK Pahang, Razali Jamin 35, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuantan pada 17 Mei lalu, berkata, tindakan Umno Pahang menjual tanah miliknya kepada syarikat bukan Bumiputera itu menunjukkan perjuangan Melayu seperti digembar-gemur Umno hanyalah retorik semata-mata.

Isu sama turut mendapat respons daripada Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, dalam kenyataannya beliau membidas pengerusi Badan Perhubungan Umno, Adnan Yaakub yang disifatkanya sebagai memperdaya rakyat Pahang dengan membuat transaksi tidak bertanggung jawab.

Fauziah turut mahu pihak berkuasa menyiasat Adnan Yaakub kerana isu terbabit yang sangat terdedah kepada salah guna kuasa. - mns

Tiada ulasan: