HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Mei 2008

Mukhriz ke JK pengurusan Umno
Muda Mohd Noor


Tindakan exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir, yang mengulangi desakan agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan semua jawatannya, akan dibawa kepada jawatankuasa pengurusan parti.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh timbalan presiden Datuk Seri Najib Razak dan bertemu setiap Rabu.

"Pemuda tiada kuasa untuk mengambil tindakan ke atas anak mantan perdana menteri itu," kata ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau, yang juga menteri pelajaran menambah, "sebagai calon ketua Pemuda, beliau tidak boleh bersikap begitu. Adakah beliau faham atau pura-pura tidak faham?

"Ini bukan kali pertama Mukriz berbuat begitu."

Hishammuddin berkata, sebagai ahli parti, Mukhriz tidak wajar meletakkan syarat sedemikian kepada presiden parti dan perdana menteri.

"Saya kesal, kecewa dan tidak boleh menerima tindakan Mukhriz meletakkan syarat kepada perdana menteri dan presiden Umno.

"Saya tidak boleh terima kesetiaan menjadi syarat, dengan memberi tempoh masa untuk presiden meletakkan jawatan," katanya.

"Ini isu kedudukan kita dalam parti, ini isu prinsip dan keahlian. Ini perkara paling atas untuk berjuang dalam parti."

Hishammuddin berkata, kesetiaan kepada parti tidak boleh dijual beli, dipersendakan atau dipermainkan oleh ahli.

"Saya tidak mahu keikhlasan boleh dijual beli kerana ia bukan satu permainan," katanya.

Beliau juga berkata, desakan Mukhriz semalam bukan kali pertama dan tindakannya itu tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku di peringkat akar umbi Umno.

"Saya dapat membayangkan kesetiaan ahli parti kepada para pemimpin kita," katanya.

Beliau menjelaskan, tindakan Mukhriz ini berbeza dengan suratnya kepada perdana menteri supaya meletakkan jawatan tidak lama selepas berakhir pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Pelbagai pihak telah meluahkan perkara yang sama tetapi mereka tidak pula meletakkan syarat seperti Mukhriz," katanya lagi.

Ketika ditanya adakah kenyataan Mukhriz itu merupakan satu kecaman, Hishammuddin berkata, orang sudah muak dengan sokongan kepada pemimpin, seperti juga mereka muak dengan ugutan dan desakan kepada pemimpin.

Katanya, beliau berharap semua pihak agar tidak menggelabah dengan tindakan Mukhriz tersebut.

Ditanya mengenai tindakan tiga exco Pemuda yang hadir menyokong Mukhriz dalam sidang media semalam, Hishammuddin berkata, "saya hendak tengok apa pendirian mereka kerana tahun ini ada pemilihan barisan pimpinan baru."

Tiga exco pergerakan itu Kamarul Zaman Kamdias, Azizul Nizam Bidin dan Harison Hassan hadir dalam sidang media Mukhriz di sebuah hotel di ibu negara semalam.

Tiada ulasan: