HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mei 2008

Jadikan kekalahan Khir Toyo dan BN sebagai ikhtibar - Adun Taman Medan
Saidah Hairan


SHAH ALAM (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat perlu mengambil ikhtibar di atas kekalahan BN-Umno dalam pilihan raya lalu kerana rakyat menolak kepimpinan yang mengamalkan sikap hipokrit dan angkuh.

Menurut Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talhah, dalam pilihan raya lalu mantan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Khir Toyo bercakap besar bahawa BN-Umno akan memperolehi kemenangan besar.

Ini kerana katanya, pembangkang ketika BN-Umno memerintah hanya memperolei dua kerusi iaitu di Sekinchan (DAP) dan Sungai Pinang (DAP).

Bagaimanapun, tambah beliau, Adun Sungai Pinang (DAP-Teng Chang Khim) yang ketika itu menjadi Ketua Pembangkang kini telah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun).

Sementara Menteri Besar ketika itu Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo kini menjadi Ketua Pembangkang dalam sidang ke-12.

Dalam perbahasan titah ucapan Tuanku Sultan Haniza berharap kerajaan Selangor tidak bimbang dan gentar dengan tindakan seorang pelajar yang telah membuat laporan polis terhadap kerajaan Pakatan Rakyat.

"Selama 50 tahun BN-Umno memerintah pimpinan mereka tidak mampu untuk memberi air percuma kepada rakyat, berbanding kerajaan Pakatan Rakyat baru dua bulan sudah mampu memberi air percuma," katanya.

Menurut beliau, tindakan pelajar tersebut membuat laporan polis hanya untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap kelemahan pimpinan BN-Umno.

Beliau berkata, pembangkang yang diketuai Khir Toyo menjadikan tawaran dalam manifesto sebagai punca utama kekalahan yang dialami.

"Pimpinan BN-Umno tidak mahu mengakui kelemahan sendiri sehingga rakyat sudah tidak mahu menerima pemerintahannya," tegas beliau.

Beliau turut bangga dengan pengikhtirafan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang melantik empat orang Adun wanita sebagai ahli exco.

Katanya, kajian mendapati penglibatan wanita lebih baik jika dibandingkan ketika BN-Umno memerintah.

"Kerajaan di bawah Menteri Besar sekarang mengakui kepentingan penglibatan golongan wanita sehingga berusaha untuk memberi cuti bersalin selama 90 hari," tegasnya. - mns

Tiada ulasan: