HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Mei 2008

Komplot jahat '3 Tan Sri' lacurkan demokrasi
Mior Isfandy Mior Azizan


Koalisi yang menggabungkan parti-parti politik, aktivis dan NGO atau Bersih telah menyarankan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi memastikan tunjang demokrasi di Malaysia melalui pilihan raya dapat berjalan dengan telus dan adil. SPR pernah menempelak pelanggan-pelanggan yang setia dengan mereka selama 11 penggal terutamanya PAS kerana didakwa tidak mempunyai bukti untuk memperlekehkan dan menjatuhkan kredibiliti SPR. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada empat tuntutan yang diutarakan oleh Bersih supaya SPR benar-benar responsif demi mengangkat martabat Malaysia daripada sebuah negara yang agak Pseudo Demokrasi pada amalannya kepada sebuah demokrasi tulen.

Satu perkara yang agak panas dibincangkan sehingga ke hari ini dan Bersih telah membuat satu laporan polis kepada empat individu utama dalam negara kita baru-baru ini. Isu kontroversi yang tercetus ekoran pembatalan dakwat kekal empat hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 berlangsung. Secara peribadi, saya merasakan penggunaan dakwat kekal di antara sebab yang paling penting untuk menjatuhkan rejim BN pada kali ini. Ini kerana untuk mengundi tidak dapat tidak perlu ada individu yang akan memangkah dan membuat perubahan dalam sesuatu pilihan raya. Walaupun lebih satu undi, ia tetap menang. Justeru, dengan menggunakan dakwat kekal ia mampu mengelakkan berlakunya 'multiple voting' and 'phantom voters'. Dakwat kekal ini juga telah diaplikasikan di India sejak 1962 dan diikuti oleh beberapa negara membangun seperti Turki, Pakistan dan Afghanistan.

Sepertimana yang kita maklum, Pengerusi SPR sendiri secara terbuka dan rasmi memutuskan bahawa SPR akan menggunakan tanda dakwat di kuku atau jari tangan pada pilihan raya umum akan datang. (13 Ogos 2007 - Utusan Malaysia). Sebelum itu juga, pihak SPR telah menunjukkan isyarat yang positif mengenainya tetapi terdapat dua perkara yang perlu diperhatikan iaitu, keperluan untuk meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya 1981 dan kajian terhadap dakwat itu sendiri.

Apa yang menariknya dalam banyak-banyak perkara yang melibatkan hukum, SPR merujuk perkara ini kepada Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai permohonan untuk mendapatkan kelulusan MFK agar dakwat yang digunakan ini telap air dan tidak menghalang solat seseorang Muslim tersebut. MFK dengan kerjasama sepasukan pakar dari Jabatan Kimia dan Bahagian Proses, UKM mendapati bahawa dakwat ini tidak mengandungi unsur najis dan telap air. Maka hukumnya sah di sisi syarak. Hebatnya SPR, sebelum membuat sesuatu tindakan dirujuk terlebih dahulu kepada alim ulama'.

Penggunaan dakwat kekal ini pernah dirakamkan di dalam persidangan Dewan Rakyat pada 5 September 2007. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu mengatakan bahawa penggunaan dakwat ini bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap keyakinan. Maka, tindakan dan ucapan yang keluar daripada mereka yang berautoriti ini telah membuakkan satu keyakinan khususnya kepada parti pembangkang dan rakyat bahawa PRU pada kali ini adalah yang paling bersih dan adil dalam sejarah. Difahamkan sebanyak 30, 000 botol dakwat telah dibeli dan menelan belanja melebihi RM1 juta.

Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah pernah mengatakan bahawa SPR mempunyai kuasa untuk membuat pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya Umum 1981 dan tidak perlu dibentangkan di Parlimen kerana ia bukanlah satu Akta. Perkara yang sama pernah diingatkan oleh Pengerusi Mafrel, Abdul Malek Hussin supaya isu penggunaan dakwat kekal ini mestilah digazetkan untuk mengelakkan pengundi mencabar hak mereka di mahkamah.

Kemudian, hendak dijadikan satu sandiwara yang menarik, maka Pengerusi SPR membatalkan penggunaan dakwat itu empat hari sebelum hari mengundi kerana dua sebab. Pertama kerana keselamatan negara dan kedua kerana Perlembagaan Persekutuan. Soal keselamatan negara ini ditimbulkan kerana terdapat satu unsur sabotaj yang dilakukan oleh beberapa pihak untuk menimbulkan keraguan di kalangan ejen-ejen calon dan petugas SPR mengenai status pengundi itu. Ketua Polis Negara pula mengatakan bahawa pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap empat kes yang melibatkan empat individu yang berlainan. Dua kes berlaku di Perlis, dan yang lainnya berlaku di Kelantan dan Kedah.

Pengerusi SPR dan Peguam Negara juga mendakwa bahawa penggunaan dakwat ini bercanggah dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Barulah mereka sedar bahawa mengundi adalah hak asasi bagi seseorang pemilih yang telah berdaftar. Jawapan yang mudah dari mulut Pengerusi SPR adalah 'overlooked'! Maka kalau betul-betul ingin melaksanakannya ahli-ahli Parlimen perlu pinda perlembagaan.

Ini yang menarik untuk diperhalusi. Pertamanya, ucapan yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri danlam Parlimen 14hb Mei yang lalu. Beliau berkata, "sebanyak tiga laporan polis diterima dan tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 511, Kanun Keseksaan". Hasil siasatan polis tiada sebarang tangkapan dibuat dan Peguam Negara mengarahkan untuk menutup kes. Beliau juga tidak mempunyai nama siapakah yang membuat laporan polis tersebut. Jika benar sepertimana yang didakwa kenapa dengan mudah SPR dan KPN membatalkan kaedah ini tanpa penyiasatan yang rapi dan tiada sebarang tangkapan reman yang dibuat dan tidak ada langsung pendedahan mereka yang ditangkap dan sebagainya. Kalau benarlah ia satu tindakan yang boleh menghuru-harakan negara, kenapa tak ditangkap dan dihumban sahaja dalam ISA. Sedangkan ramai lagi di dalam ISA ditangkap kerana didapati terlibat dengan JI dan DI tidak dibicarakan dan meskipun tahanan sendiri mengaku bahawa mereka tidak terlibat! Apatah lagi sebarang bukti pun tidak ada!

Nak dicantikkan lagi drama ini, maka berlakulah insiden simbahan cat di rumah Pengerusi SPR sehari selepas pengumuman pembatalan itu dibuat. Dikatakannya sebagai tanda protes pihak-pihak terbabit! Tetapi siapakah mereka? Adakah tuduhan ini tuduhan malafide?!

Maka, berkatalah Tan Sri Rashid di sebuah program di UIAM pada 17 Mei yang lalu, "Saya belum menyatakan bahawa yang sebenarnya terjadi ialah kabinet telah menolak cadangan kami untuk memperkenalkan dakwat kekal pada 13 Februari, hari Parlimen dibubarkan". Kenyataan ini jelas kontra dengan alasan pembatalan dakwat kekal. Maka, dipersoalkanlah adakah semua alasan pembatalan tersebut adalah benar? Jika tidak ternyata Pengerusi SPR, Peguam Negara dan KPN adalah kambing hitam dalam rancangan jahat kerajaan!

Maka, saya cadangkan jika benar Pengerusi SPR ingin membongkar isu ini, maka saman pihak kerajaan! Dan jika kenyataan Rashid di UIA ini salah maka kerajaan hari ini pecat sahaja beliau! Yang penting apa yang pihak Pakatan Rakyat dan rakyat nampak adalah ini satu komplot jahat melacurkan demokrasi di negara kita. Maka semua pihak mestilah mendesak Pak Lah, KPN, Peguam Negara dan lebih-lebih lagi Rashid LETAK JAWATAN! Ini jelas, bahawa SPR memang tidak adil, telus dan bersih! - mns

Tiada ulasan: