HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Mei 2008

Majlis Fatwa diminta keluar fatwa penggunan ayat Al-Quran sebagai nada dering


KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan diminta supaya menggeluarkan fatwa berhubung penggunaan ayat Al-Quran sebagai nada dering telefon bimbit kerana dikhuatiri akan mengubah maksud keseluruhan ayat suci itu dan sekaligus menjadinya tidak lengkap setelah panggilan telefon dijawab.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata kesucian ayat Al-Quran harus dipelihara dan dihormati dan penggunaannya perlulah bersesuaian dengan tempat.

"Dalam kes seperti ini, kita harap Majlis Fatwa dapat mengeluarkan fatwa mengenai perkara itu kerana dikhuatiri akan mencemarkan kesucian ayat tersebut.

"Kini lambakan muat turun ayat Al-Quran dari kedai telefon bimbit juga banyak, dimana ia diuruskan oleh orang yang bukan beragama Islam tanpa mengetahui maksud ayatayat itu," katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Mufti Arab Saudi barubaru ini yang mengharamkan penggunaan ayat suci Al-Quran sebagai nada dering telefon bimbit.

Fatwa itu mengharamkan penggunaan ayat Al-Quran sebagai nada dering kerana dikhuatiri akan mengubah maksud keseluruhan ayat suci itu dan sekaligus menjadinya tidak lengkap ketika menjawab panggilan telefon.

Mohd Nadzim berkata masyarakat boleh menggunakannya tetapi perlu memberi perhatian tentang keadaan dan masa yang sesuai untuk penggunaannya.

"Kadang-kadang kita lupa sehingga membawa telefon bimbit ke tandas. Ini sebagai tidak menghormati ayat suci dan bila kita menjawab panggilan ketika telefon berdering, ayatnya akan jadi tak penuh sekaligus menjadikan maksudnya berlainan," katanya.

Beliau juga berharap Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi mengawal kegiatan muat turun ayat Al-Quran serta menasihati para pengguna beragama Islam supaya lebih peka terhadap penggunaan ayat Al-Quran sebagai nada dering.

Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin pula berkata fatwa oleh Majlis Mufti Arab Saudi itu mempunyai asas dan kebenarannya kerana dengan menjadikan ayat Al-Quran sebagai nada dering, ia akan mengubah maksud ayatnya apabila ia tidak disiarkan sepenuhnya.

"Ia sama juga seperti bahasa Melayu. Kalau di pendekkan, ia akan memberi makna yang lain. Jadi perkara ini seharusnya diadakan pemantauan yang rapi kerana kita tidak mahu kemuliaan ayat suci Al-Quran dipersendakan.

"Ayat Al-Quran adalah ayat yang perlu dihayati dan diperdengarkan bukan untuk menjadi nada dering yang akan menyebabkan maksudnya lari dari maksud yang asal" katanya.
BERNAMA

Tiada ulasan: