HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Mei 2008

Singapura miliki sumber semula jadi Pulau Batu Puteh
Mstar

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap pertikaian kedaulatan Pulau Batu Puteh yang berpihak kepada Singapura bermakna republik itu mempunyai hak sepenuhnya ke atas sumber semula jadi dan galian di perairan pulau berkenaan.

Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia, Datuk Cheah Kong Wai berkata, di bawah undang-undang laut, perairan sesebuah negara menjangkaui kawasan 12 batu nautika (22.2 kilometer) daripada pantai ataupun sesebuah pulau.

"Itu sebabnya saya secara peribadi menganggap keputusan 12-4 yang memihak kepada Singapura oleh ICJ sebagai mengecewakan, di mana Malaysia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas perairan tersebut," kata beliau ketika dihubungi The Star.

Bagaimanapun beliau mengakui kemenangan Malaysia ke atas Terumbu Karang Tengah dengan undian 15-1 adalah adil dan satu keputusan menang-menang.

Malah beliau juga kurang gembira dengan keputusan berhubung tuntutan ke atas Terumbu Karang Selatan yang ICJ memutuskan bahawa:

"Kedaulatannya tertakluk kepada persempadanan perairan yang dimiliki oleh sesebuah negara."

Justeru kata beliau, Terumbu Karang Selatan juga dekat dengan Terumbu Karang Tengah dan Pulau Batu Puteh, sekali gus menyebabkan pertindihan dari segi kawasan perairan negara ia terletak.

"Dalam kes-kes sebegini, sempadan perairan perlu ditentukan ekoran pertindihan yang wujud. Ini biasanya akan dijalankan menerusi perundingan antara dua negara yang terlibat dalam pertikaian.

"Pun begitu, kawasan tanah yang tenggelam dalam air sepanjang masa (di mana Terembu Karang Selatan), hanya kelihatan bila air surut tidak boleh dianggap sebagai kawasan tanah," katanya.

Tiada ulasan: