HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mei 2008

Selangor antara yang pertama hantar bantuan ke China
Salmiyah Harun


SEPANG (Hrkh) - Kerajaan Negeri Selangor di antara yang pertama menghantar misi kemanusiaan ke negara China yang dilanda gempa bumi pada 12 Mei lalu.

Sehingga kini angka kematian rakyat negara itu mencecah 62,664 orang akibat gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda kawasan utara Chengdu.

Manakala seramai 23,775 mangsa masih lagi hilang, sebagaimana yang diumumkan kerajaan Republik China itu.

Atas sifat kemanusiaan, Kerajaan Selangor telah menghantar sekumpulan perubatan yang terdiri daripada enam orang doktor, lima orang paramedik, dua logistik, dan tiga orang pembantu perubatan.

Seramai 16 orang petugas pasukan perubatan yang mempunyai pengalaman dalam misi seperti itu bertolak pada 25 Mei dan dijangka pulang pada 30 Mei ini.

Pasukan perubatan itu diketuai oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Amal) Hussin Ismail. Turut mengikuti misi itu jurugambar Harakah Wan Zahari Wan Salleh.

Beberapa NGO turut menyertai pasukan itu termasuklah Wirda, Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan), Kelab Motor, dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia.

Menurut Hussin ketika ditemui di KLIA, misi itu adalah misi kali pertama yang membawa khidmat dan bahan perubatan memandangkan mereka masih di peringkat awal untuk menghadapi keadaan dan apa yang diperlukan oleh mangsa bencana.

"Misi ini juga sebagai 'tinjauan' pertama kita bagi melancarkan misi seterusnya pada awal Jun depan, oleh kerana buat masa ini kerajaan China amat memerlukan perubatan jadi kami dahulukan apa yang diperlukan mereka," katanya.

Tambahnya, pengalaman di Acheh tahun lalu sedikit sebanyak akan memudahkan mereka untuk memberi khidmat perubatan kepada rakyat Republik itu.

Katanya, hampir 12 hari menunggu keputusan daripada kerajaan China untuk membenarkan mereka memasuki negara itu.

Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja pulang dari China mereka akan berangkat pula ke Mynamar bagi memberi khidmat perubatan serta membawa barang keperluan kepada mangsa Taufan Narjis.

Turut mengiringi misi itu serta memberi kata-kata semangat sebelum berangkat Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Beliau turut menasihatkan anggota misi itu supaya bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman bagi merapatkan hubungan masyarakat China dengan Malaysia.

"Gunakan pengalaman yang ada untuk memberi bantuan kepada rakyat China dan ambilah peluang ini untuk menonjolkan nama Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, jurugambar Harakah yang menghubungi di sini sebaik sahaja tiba di Guangzhoa selepas empat jam berlepas dari KLIA pada 9.30 pagi, dan tiba di Chengdu pada jam 7.20 malam memberitahu cuaca mendung dan berkabus mencecah 24 darjah celcius akan berterusan sehingga Jumaat ini.

Sebanyak 69 empangan yang retak dalam gempa bumi di barat daya China dua minggu lalu kini menghadapi bahaya akan pecah.

Tanah runtuh berpunca daripada gempa bumi pada 12 Mei lalu juga menyebabkan laluan sungai tersekat dan mewujudkan puluhan 'tasik gempa.' - mns

Tiada ulasan: