HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Mei 2008

Tukar baju pelajar elak gangguan seks
Malaysiakini


Kementerian Pelajaran dicadangkan menukar pakaian seragam pelajar perempuan bagi menangani jenayah seksual melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dalam kalangan mereka.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, kementerian boleh menukar baju putih kepada baju berwarna kerana ia tampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan.

"Baju berwarna putih tersebut sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ," kata pemimpin wanita PKPIM, Munirah Bahari hari ini.

"Lebih-lebih lagi ia (baju jarang) akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. Baju berwarna putih itu tidak sesuai dipakai oleh pelajar perempuan di sekolah kerajaan.

"Di sinilah punca yang boleh kita saksikan bahawa pelajar perempuan itu sendiri mempunyai daya tarikan supaya lelaki mendekatinya."

Beliau mencadangkan kementerian menilai semula baju seragam sekolah untuk pelajar perempuan.

Jika kementerian ingin mengekalkan seragam warna putih, katanya, PKPIM mencadangkan agar pelajar perempuan diwajibkan untuk memakai singlet dalam ataupun tudung labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat.

"Kami mengharapkan agar Kementerian Pelajaran bertindak tegas dalam menangani isu ini dan rombakan perlu dilakukan ke atas pemakaian pelajar perempuan demi memenuhi syariat dan tuntutan agama Islam," kata Munirah, ketua hal ehwal wanita PKPIM, dalam satu kenyataan hari ini.

"Akhir-akhir ini kita sering disajikan dengan kes sosial, rogol, gangguan seks mahupun hubungan seks sebelum perkahwinan yang melibatkan remaja wanita belasan tahun.

"Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar sekolah. Implikasi daripada kejadian ini maka berlakulah kelahiran bayi luar nikah, pembuangan bayi mahupun pelacuran," tambahnya.

Isu yang melibatkan keselamatan diri remaja, tegas Munirah, merupakan isu yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

"Namun begitu, isu ini dilupakan seketika apabila laporan sebegini tidak lagi tersiar di dada-dada akhbar. Sebaliknya isu ini akan menjadi panas apabila ada mangsa terbaru dilaporkan.

"Konsep menutup aurat itu penting dan perlu didedahkan kepada masyarakat Islam terutama yang melibatkan muslimah.

"Pakaian yang sopan dan menutup aurat boleh mencegah dan melindungi wanita daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," tambahnya.

Tiada ulasan: