HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Mei 2008

Balkis belanja RM279,000 beli pakaian sukan untuk ahli dan suami
Salmiyah Harun


SHAH ALAM (Hrkh) - Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) membelanjakan RM279,000 hanya untuk menyediakan pakaian bersukan bagi ahli-ahli Balkis dan suami mereka.

Perbelanjaan yang menelan ratusan ribu ringgit itu didedahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim, semasa sesi soal jawab kepada soalan yang dikemukakan Adun, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku).

Khalid berkata jumlah perbelanjaan itu diperolehi daripada syarikat Galeri Balkis Sdn. Bhd.

"Balkis membuat dua kali pembayaran kepada Galeri Balkis, iaitu kali pertama sebanyak RM150,000 dan kedua RM121,000," kata beliau yang turut mengatakan Balkis mendapat sumber kewangan daripada anak syarikat kerajaan negeri Selangor seperti Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Beliau turut mendedahkan beberapa perbelanjaan yang dilakukan oleh Balkis sepanjang tahun 2006 dan 2007, yang mana membabitkan perbelanjaan mencecah jutaan ringgit.

Sehubungan itu, Khalid berkata satu jawatankuasa terpilih akuantabiliti akan dibentuk, yang dianggotai oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang bagi megkaji dengan tertib mengapa Balkis bertindak demikian.

"Saya sebagai ahli profesional akan memikirkan sesuatu yang patut dilakukan, tetapi sebelum itu kita kena melalui proses pendekatan yang tertib," tegas beliau.

Bagaimanapun, beliau juga mengingatkan mereka di kalangan Pakatan Rakyat, khususnya wakil kerajaan negeri Selangor agar tidak melakukan perkara seperti yang dilakukan Balkis sebelum ini.

Katanya, apa yang didedahkan itu menunjukkan ketelusan kerajaan dan berharap perkara itu bukan satu perkara yang dikaji bersama, malah dapat memperbaiki keadaan seperti itu. - mns

Tiada ulasan: