HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Jun 2008

Pelbagai pihak gesa tambak laut Melaka diberhentikan
Zaili Muhammad


MELAKA - Sahabat Alam Malaysia (SAM), Jaringan Bertindak Nelayan Pantai Semenanjung (Jaring) dan Badan Bertindak Nelayan Pantai Klebang menggesa kerajaan negeri Melaka menghentikan dengan serta-merta penambakan laut di sepanjang pantai Klebang kerana ia mengakibatkan lebih 200 nelayan hidup dalam keadaan tertekan.

Penambakan yang bermula dari kawasan Tengkera hingga ke Klebang Besar itu telah menutupi hampir keseluruhan kawasan penangkapan nelayan yang mempunyai sembilan pengkalan nelayan iaitu Tengkera, Limbungan, Klebang Kecil, Klebang Besar, Batang Tiga, Lereh, Kampung Pinang, Kampung Hailam dan daerah Tanjung.

Di samping itu, kerja tambak laut tersebut hampir mencecah jarak 1 batu nautika dari pantai adalah merupakan kawasan bagi nelayan zon A (nelayan tradisional) mencari rezeki secara turun-temurun bagi menampung kehidupan.

Ia kini semakin terhad dan dengan kapasiti enjin yang kecil tidak memungkinkan mereka pergi lebih jauh lagi.

Menurut Koordinator SAM, Mohd Nizam Mahshar, kerajaan negeri perlu menghentikan projek ini dan melakukan kajian semula kerana pembangunan ini tidak memberi jaminan kepada nasib nelayan.

"Kerajaan kena buktikan kepada nelayan bahawa nasib mereka terjamin, perlulah ada kajian saintifik dan telus barulah projek ini boleh diteruskan.

"Kita akan bantu nelayan untuk usulkan isu ini kepada kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar serta memantau kesan yang akan berlaku selepas ini, seterusnya memberi tekanan kepada pihak terlibat," kata beliau.

Menurut Pengerusi Jaring, Jamaluddin Mohamad, beliau mempersoalkan apakah kerajaan tidak mengiktiraf kerjaya nelayan pantai sebab setiap polisi pembangunan yang dilakukan kerajaan tidak mengambil berat nasib nelayan.

"Kerajaan jangan hanya pentingkan keuntungan semata-semata tanpa memikirkan sumbangan mereka kepada negara sebagai penyumbang sumber protein.

"Melaka juga akan kehilangan identitinya sebagai pengeluar belacan dan cencaluk yang sepatutnya dikomersialkan oleh kerajaan dan mereka juga mengamalkan cara penangkapan yang mesra alam," ujarnya.

Suatu ketika dahulu kerajaan membantah projek penambakan Pulau Tekong di Singapura kerana menjejaskan nelayan di Johor tetapi malangnya di Melaka ia dijalankan tanpa rasa bersalah bahkan ia juga merupakan penambakan laut yang terbesar di Malaysia, ibarat kuman di seberang tampak kelihatan, gajah di depan mata tidak nampak, katanya. -

Tiada ulasan: