BERNAMA
[DIKEMAS KINI]
KUALA LUMPUR: AirAsia hari ini menghantar sebuah pesawat ke Bangkok untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas akibat penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi yang diserbu ribuan penunjuk perasaan antikerajaan.
Penerbangan itu berlepas pada 4.25 petang dan tiba di Pangkalan Udara UTapao di Bangkok pada 5.30 petang (waktu Thailand) dan kembali semula ke Kuala Lumpur pada 6 petang (waktu Thailand), kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Penumpang yang menaiki penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke UTapao dibawa dengan bas ke pusat bandar Bangkok manakala penumpang yang hendak pulang ke Kuala Lumpur juga dibawa dengan bas ke lapangan terbang berkenaan dari sebuah hotel di ibu negara Thailand itu. Sementara itu, di BANGKOK, beribu-ribu penumpang yang terkandas kini berebut-rebut mendapatkan tiket penerbangan, bas dan keretapi seperti goreng pisang panas untuk keluar dari Thailand.
Berikutan pembukaan lapangan terbang Utapao hari ini untuk operasi komersial terhad, ramai menyerbu ke syarikat-syarikat penerbangan yang berjaya mendapatkan slot di lapangan terbang.
Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengendalikan satu penerbangan ke Utapao, kira-kira 140km dari Bangkok, dan dua lagi esok tetapi semua tiket telah habis dijual.
Terdapat permintaan besar untuk tiket-tiket keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke India, Eropah dan Amerika Syarikat.
"Tiket kami dari dua penerbangan antara Phuket ke Kuala Lumpur untuk hari ini dan esok telah habis dijual, tetapi kami cuba menambah tempat duduk dengan menyediakan pesawat lebih besar, serta satu lagi penerbangan sewa khas," kata Pengurus MAS Kawasan bagi Thailand, A. Vijakumaran.
Terdapat kumpulan besar pelbagai bangsa cuba membeli tiket di pejabat MAS di ibu negara ini, tetapi Vijakumaran berkata mereka masih cuba mendapatkan slot pada Ahad oleh kerana pihak berkuasa penerbangan Thai menghadapi masalah untuk menampung permintaan yang banyak dari syarikat-syarikat penerbangan berikutan fasiliti yang terhad di Utapao.
Laluan penerbangan Bangkok ditutup sejak Isnin setelah penyokong anti-kerajaan mengambil alih lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Muang, tetapi Utapao tidak dapat menampung jumlah besar pesawat berlepas dan mendarat.
Terdapat juga permintaan yang besar bagi bas dan van oleh kerana warga asing yang terkandas mencuba segala cara untuk merentas masuk ke Malaysia.
Perjalanan keretapi dari Bangkok ke Pulau Pinang mengambil masa kira-kira 20 jam sementara dengan bas 10 hingga 12 jam ke Hatyai.
Seorang pengendali syarikat pelancongan berkata semua bas dan vannya telah disewakan untuk tiga hari akan datang oleh kerana banyak kumpulan pelancong dari China dan Jepun menggunakannya untuk perjalanan ke Malaysia menerusi Hatyai bagi mendapatkan penerbangan sambungan di Malaysia.
Bas-bas disewakan 35,000 baht bagi setiap trip sementara van hingga 18,000 baht, hampir tiga kali lebih tinggi dari kadar biasa.
Kedutaan Malaysia di Bangkok diserbu warga asing yang memohon visa untuk masuk ke Malaysia.
"Terdapat ramai warga India, Eropah, China dan lain-lain memohon visa. Biasanya masa memproses mengambil masa dua hingga tiga hari tetapi berikutan permintaan dari kedutaan lain, kami mempercepatkan proses itu," kata seorang pegawai.
Antara warga Malaysia yang terkandas ialah 28 kakitangan Biotech Cooperation yang datang kerana menghadiri BioAsia 2008.
Tujuh daripada mereka menaiki van ke Malaysia sementara selebihnya mendapat tiket MAS untuk penerbangan esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan