HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 November 2008

Ceramah ISA:Semua bebas, bicara mahkamah 9 Disember

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Kesemua sembilan orang yang ditahan dalam perhimpunan Pelancaran Kempen Mansuhkan ISA di padang MPAJ semalam telah dibebaskan jam 4.30 pagi tadi.

Mereka ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub. Selain itu turut dibebaskan Kamaruzzaman Mohd, Mohd Sani Hamzan, Saripudin Mohd Yatim, Abdullah Abdul Rahman, Mohd Amir Ali Mohd Shah, Hafiz Zulkifli, Azman Abdul Hamid.

Sungguhpun dibebaskan, kesemua mereka diminta untuk hadir ke mahkamah pada 9 Disember untuk dibacakan pertuduhan.

Menurut salah seorang tahanan, Saripuddin, mereka didakwa mengikut Seksyen 27, Akta Polis kerana menyertai perhimpunan tanpa permit.

Dalam ceramah yang sepatutnya bermula jam 9 malam tadi, pihak polis bertindak menyuraikan lebih 200 peserta yang datang.

Dalam keadaan hujan yang turun tanpa henti ketika itu, anggota Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak merempuh orang ramai yang datang sebelum ceramah bermula, sebaik sahaja ketibaan Mohamad Sabu.

Beliau yang berucap bagi mententeramkan orang ramai, dirampas pembesar suara oleh anggota polis sebelum tujuh daripada anggota unit amal ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pandan Indah.

Selain dua pemimpin utama PAS tersebut, turut hadir adalah Ketua Wanita KeADILan, Zuraidah Kamarudin.

Kira-kira 20 anggota pasukan FRU dan dua trak polis dikerah berkawal di hadapan balai polis pandan Indah selepas orang ramai yang datang erkumpul di sekitar Jalan Pandan Ilmu memberikan sokongan kepada mereka yang ditahan.

Tidak lama selepas itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Abdul Jalil Hasan mengarahkan mereka tidak berkumpul dan duduk dalam keadaan yang tenang tanpa mengeluarkan sebarang sorakan.

Sebahagian besar daripada mereka termasuk anggota Unit Amal tidak berganjak daripada perkarangan balai polis tersebut walaupun terpaksa duduk di tengah hujan renyai-renyai yang tidak berhenti sejak awal.

Selepas itu, pada jam 11 malam, Salahudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian tiba bagi memantau keadaan tahanan serta menjalankan rundingan bersama pihak polis.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan kepada penyokong anti-ISA bahawa pihak polis telah bersetuju untuk membebaskan tahanan pada jam 12.30 tengah malam.

Setengah jam kemudian ketika Salahudin bercakap kepada penyokong Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), pihak polis memanggilnya dan Mohamad sabu masuk semula ke balai polis.

Harakahdaily dimaklumkan oleh Salahudin bahawa beliau dan Mohamad sabu telah ditahan sebaik sahaja keterangan diambil.

Selepas itu, Abdul Jalil telah memanggil pihak media pula masuk ke balai polis bagi mengadakan sidang media.

Beliau mengesahkan penahanan sembilan yang terbabit, sambil memberikan jaminan bahawa mereka akan dibebaskan setelah kesemua siasatan selesai dijalankan.

Jelasnya, tindakan yang dijalankan pihak polis terhadap mereka yang datang kerana mereka ingkar terhadap arahan untuk tidak meneruskan perhimpunan.

Katanya, tinjauan polis mendapati orang ramai berkumpul seawal jam 6 petang, dengan kira-kira 300 anggota polis yang bersedia 48 jam sebelum program tersebut diadakan.

Abdul Jalil turut mengesahkan menerima permohonan permit mengadakan ceramah tersebut daripada Pemuda PAS Pandan namun ianya tidak diluluskan.

Sejurus selepas itu, kelihatan Ketua Angkatan Muda KeADILan, samsul Iskandar Mat Akin tiba di kawasan tersebut bagi menjalankan rundingan dari sudut perundangan dengan pihak polis.

Turut sama, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh yang bersama-sama menunggu proses siasatan dan pembebasan mereka yang ditahan.-Hrkh_

Tiada ulasan: