HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2008

Zaid mungkin sertai pembangkang

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang hadir pada perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelima di Stadium Malawati di sini hari ini, tidak menolak kemungkinan menyertai parti pembangkang itu pada masa depan.

Mengakui masih menjadi ahli UMNO, Zaid berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung kerjaya politiknya selepas meletak jawatan dalam Kabinet pada 16 September lalu.

''Saya belum memikirkan mengenai politik. Buat masa ini saya mahu fokus kepada yayasan saya. Selepas itu barulah saya akan aktif semula dalam politik," katanya pada sidang akhbar selepas majlis tersebut.

Zaid meletakkan jawatan dalam Kabinet selepas mendapat kritikan pelbagai pihak khususnya dalam Barisan Nasional (BN) terhadap kenyataannya yang membantah penahanan seorang wartawan, Ahli Parlimen dan penulis blog di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 12 September lalu.

Hadir sama pada kongres PKR itu ialah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee.

Ditanya mengenai kehadirannya pada majlis itu, Zaid memberitahu, beliau datang sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.

Jelas beliau lagi, kehadirannya adalah untuk mendengar isu yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa di negara ini.

Tiada ulasan: