KL POS/UTUSAN
KUANTAN: Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhadapan dengan laluan sukar pada pemilihan pergerakan itu Mac depan.
Bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman berkata, sukar untuk diramal siapa yang bakal menang.
Bagaimanapun, kata beliau, Shahrizat bakal melalui jalan sukar untuk memenangi jawatan tersebut kerana kelebihan yang ada pada Rafidah.
Beliau yang tidak menyebelahi mana-mana pihak berkata, kedua-dua calon terlibat mempunyai kelebihan tersendiri untuk memenangi jawatan tersebut.
‘‘Kedua-dua calon ada peluang untuk menang. Serahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.
‘‘Saya ucapkan selamat berjuang kepada mereka. Terima dengan hati terbuka apa juga keputusan yang dibuat oleh perwakilan nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Perpaduan di Paya Besar dekat sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd. Shaife Apdal.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Paya Besar mengulas keputusan Rafidah dan Shahrizat untuk bersaing merebut jawatan Ketua Wanita UMNO yang sekali gus melenyapkan pelan peralihan kepimpinan pergerakan itu pada Jun 2009 yang diumumkan Rafidah Ogos lalu.
Shahrizat mengumumkan pendiriannya kelmarin manakala Rafidah berbuat demikian semalam sambil melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan kepimpinan telah dipertikai dan ditolak selepas tiga bulan pengumumannya.
Rafidah memegang jawatan Ketua Wanita sejak 1984 setelah mengalahkan Tan Sri Zaleha Ismail tetapi gagal mempertahankan jawatan itu pada 1996 selepas tewas kepada Siti Zaharah iaitu Naib Ketuanya.
Bagaimanapun, beliau kembali memegang jawatan itu pada 2000 setelah merampasnya daripada Siti Zaharah.
Pada mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Paya Besar, Kuantan, 12 Oktober lalu, para perwakilan bahagian itu mencalonkan Rafidah sebagai ketua pergerakan tersebut manakala Shahrizat sebagai naib ketua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan