HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 November 2008

Dalang pemalsuan dokumen dicekup

SINAR HARIAN ONLINE


PUCHONG - Seorang lelaki warga Bangladesh nekad melompat keluar dari jeriji tingkap dapur sebuah pangsapuri di tingkat 13, di sini bagi mengelakkan dirinya dicekup pihak berkuasa yang mengadakan serbuan di rumah berkenaan, tengah hari, semalam.

Difahamkan, lelaki terbabit bertindak meloloskan diri dengan melompat ke arah kaki lima rumah pangsa berkenaan selepas menyedari rumah yang menjadi markas aktiviti pemalsuan dokumen itu dikepung pihak berkuasa.

Menurut sumber, pihak imigresen bertindak atas maklumat sebelum menyerbu masuk sebuah rumah di tingkat 13A, Pangsapuri Bayu Puteri, Bandar Puteri 11 di sini dan mendapati tiga lelaki leka mencetak pas pekerja palsu.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki bertindak nekad dengan meloloskan diri ketika pegawai sibuk memecahkan pintu hadapan rumah pangsa berkenaan.

“Bagaimanapun, kita berjaya memberkas kesemua lelaki warga negara Bangladesh berusia lingkungan 20-an termasuk suspek yang cuba melarikan diri,” katanya.

Kata sumber itu lagi, ketiga-tiga lelaki itu dipercayai berada di negara ini sejak dua hingga tiga tahun dan bergiat aktif melakukan pemalsuan I-Kad atau pas pekerja enam bulan lalu.

Tiada ulasan: