HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2008

Nelayan diingat tidak sertai mogok anjuran DAP

BERNAMA


KUCHING: Kira-kira 70,000 nelayan di negara ini diingatkan agar tidak menyertai mogok anjuran DAP bulan depan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim.

Beliau berkata DAP mahu bertindak sebagai jaguh kepada nelayan tetapi tidak pernah berusaha untuk membantu dan membangunkan industri perikanan negara.

"Kita mengingatkan para nelayan agar tidak terbabit dengan mogok pada 12 Dis ini dan jika ada pihak yang terbabit, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menarik balik semua keistimewaan dan subsidi yang telah kerajaan beri," katanya di sini hari ini. Beliau berkata baru-baru ini Anggota Parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen telah mengemukakan usul di Parlimen berhubung empat permintaan DAP iaitu menurunkan harga minyak subsidi kepada RM1.00 seliter berbanding RM1.43 sebelum ini, mengurangkan pencerobohan nelayan asing, mendakwa masih ramai nelayan belum menerima elaun sara hidun RM200 sebulan dan mahu Zon A dan Zon B perikanan dibuka kepada nelayan asing.

Bagaimanapun katanya usul daripada DAP itu telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat sebelum ia dapat dibentangkan.

Rohani berkata kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) sebenarnya telah banyak memberi keistimewaan kepada nelayan di negara ini khasnya bantuan subsidi seperti elaun sara hidup RM200 sebulan termasuk awakawak, subsidi petrol dan diesel, insentif 10 sen setiap kilogram hasil tangkapan dan banyak lagi bantuan lain.

Katanya apa yang dinikmati oleh nelayan di Malaysia ini mungkin tidak dinikmati oleh nelayan lain di dunia termasuk di negara maju.

"Sebenarnya ramai yang telah menikmati kemudahan daripada kerajaan ini, namun mereka yang menerimanya tidak banyak yang mahu bercerita kepada orang lain, kecuali mereka yang tidak menerima bantuan, walaupun sedikit, mereka kata ramai yang belum dapat," katanya.

Menurut Rohani kerajaan tidak memberi subsidi sewenang-wenangnya kepada pemohon kerana latar belakang mereka perlu diteliti untuk memastikan mereka yang terbabit betul-betul layak untuk mendapat bantuan.

Katanya nelayan yang belum lagi menerima sebarang insentif daripada kerajaan diingatkan agar bersabar kerana proses untuk mengeluarkan bantuan tersebut mungkin memakan sedikit masa.

Tiada ulasan: