HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 November 2008

Raja Petra bantah pemindahan kes fitnah ke Mahkamah Sesyen

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mendengar hujah peguam Raja Petra Kamarudin bahawa pemindahan kes fitnah penulis laman web Malaysia Today itu daripada Mahkamah Majistret ke Mahkamah Sesyen adalah "haram, tidak sah dan bertentangan" kepada peruntukan-peruntukan Kod Prosedur Jenayah.

Peguamnya, Manjeet Singh Dhillon berkata, Seksyen 117 kanun tersebut tidak membenarkan pemindahan kes oleh majistret ke Mahkamah Sesyen yang mana kes berkenaan telah didengar di Mahkamah Majistret.

"Perintah yang dikeluarkan majistret yang akan mendedahkan tertuduh kepada ketidaksaksamaan dan berpotensi dikenakan hukuman lebih tinggi adalah tidak berpelembagaan, dalam pada melanggar persamaan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Raja Petra dituduh memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu kenyataan bertulis yang disahkan oleh beliau pada 18 Jun lalu.

Beliau turut menghadapi tuduhan yang sama terhadap Kolonel Norhayati Hassan dan suaminya, Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong.

Raja Petra didakwa atas tiga tuduhan tersebut di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Julai tahun ini.

Pada 15 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara telah memohon kepada Mahkamah Majistret untuk memindahkan kes-kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen atas alasan ia "melibatkan kepentingan awam" dan kes itu kemudiannya dipindahkan.

Manjeet telah menyerahkan kepada hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Sekeri Mamat sama ada memindahkan semula kes tersebut ke Mahkamah Majistret atau memerintahkan perbicaraan diteruskan dan menghantar rekod ke Mahkamah Tinggi bagi menentukan jika pemindahan kes tersebut sahih.

Tiada ulasan: