HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 November 2008

Bukan salah saya - Kamilia

MALAYSIA KINI


PETALING JAYA: Datuk Kamilia Ibrahim menafikan tuduhan-tuduhan yang mengatakan beliau menjadi punca pelan peralihan kuasa Wanita Umno yang dijadualkan Jun ini tergendala.

Ketua Umno Kuala Kangsar itu berkata, terdapat sebab-sebab lain yang menyebabkan pelan peralihan yang diusulkan oleh ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz itu tidak berlaku seperti yang dirancang.

"Walaupun ada orang berkata begitu, saya bukan satu-satunya sebab itu. Ada banyak isu lain yang terlibat," katanya kepada The Star semalam.

Kamilia yang hampir pasti menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan Mac ini berikutan keputusan penyandang jawatan itu, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk mencabar Rafidah bagi jawatan ketua akan menjelaskan kedudukannya pada masa yang yang sesuai.

Rafidah menerima 118 pencalonan sementara Shahrizat dengan 72 pencalonan bagi jawatan nombor satu pergerakan itu.

Bagi jawatan nombor dua, Shahrizat menerima 102 pencalonan sementara Kamilia dengan 56 pencalonan.

Kamilia juga tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang menggambarkan pergerakan itu kini dalam keadaan kucar kacir berikutan keputusan Shahrizat untuk mencabar Rafidah.

"Wanita Umno bukan dalam keadaan kucar-kacir. Ini hanyalah pertandingan. Ia juga berlaku dalam Puteri (Umno) di mana ramai calon bertanding untuk jawatan ketua. Perkara yang sama turut berlaku dalam Pemuda Umno. Malah pertandingan terbesar nanti adalah bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.

"Mengapa pula bila pertandingan berlaku dalam Wanita Umno, kami dikatakan dalam keadaan kucar-kacir?" katanya.

Kamilia bagaimanapun enggan mengulas berhubung isu-isu lain yang sedang berlaku dalam Wanita.

Shahrizat sebelum ini berkata, beliau akan kekal dengan pelan peralihan kuasa Jun ini jika Kamilia tidak mencabarnya untuk jawatan naib ketua.

Rafidah dalam nada yang sama menyalahkan Kamilia kerana menyebabkan pelan tersebut tergendala.

Beliau juga berkata, Kamilia mendapat keuntungan daripada apa yang berlaku kerana kini hampir pasti menang jawatan naib ketua pergerakan itu tanpa bertanding.

"Jika tidak kerana pelan peralihan tersebut, mungkin berlaku pertandingan terbuka. Justeru, mungkin bukan Kamilia yang menang," kata Rafidah.

Tiada ulasan: