HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2008

Peralihan kuasa bermakna, tukar pemimpin yang perasuah dan tidak bermoral - Anwar

Wan Nordin Wan Yaacob


SHAH ALAM - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyatakan erti peralihan kuasa adalah menukar pemimpin yang perasuah dan tidak bermoral kepada pemimpin yang bersih.

Namun, ujarnya peralihan kuasa yang diusahakan kerajaan Umno/BN hari ini tidak sedemikian kerana pemimpin yang menggantikan ialah di kalangan mereka yang perasuah, zalim dan maksiat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas sempena perasmian Kongres KeADILan di Stadium Malawati Shah Alam.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah, Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Kahlid Samad; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; AJK PAS Pusat, Dr Lo Lo Mohd Gahazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa; Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad; Karpal Sing (DAP) dan Teresa Kok.

Beliau juga menyamakan sikap suka menafikan di kalangan pemimpin Umno/BN sama seperti sikap Preisden Amerika, George w Bush yang suka membuat penafian.

Ujar beliau lagi, kerajaan Umno/BN hari ini semakin parah dalam memacu kebajikan rakyat kerana mereka lebih berusaha untuk memacu ekonomi sendiri.

Katanya lagi, hal ini menyebabkan rakyat bertambah muak dan natijahnya hari ini rakyat menolak kepimpinan Umno/BN yang korupsi.

"Rakyat ada pilihan samada hendak kekalkan sisitem yang perasuah, yang mengekalkan ISA, yang meminggirkan kaum miskin, atau rakyat boleh memikirkan perubahan seluruhnya, kalau ini berlaku kita akan benar-benar merdeka, itu pilihan yang ada pada rakyat," katanya.

Beliau percaya jika kepimpinan Umno/BN meneruskan kepimpinan negara hari ini, wang rakyat akan terus dirompak dengan pelbagai alasan termasuk kononnya atas dasar komisen.

Justeru jika rakyat mahu merubah semua kemelut yang ada dalam kepimpina kerajaan hari ini, rakyat perlu mengubahnya segera dan dengan keazaman PAS, KeADILan dan DAP, pastinya perubahan ini boleh berlaku.

Di akhir ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang kini sedang menjalankan ibadah haji, atas kerjasama yang kukuh selama ini.

Beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Chen Ma Hin selain Karpal Singh, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Muda dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar yang sudi hadir dalam perasmian kongres kali ini.

Tiada ulasan: