HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 November 2008

'Perang besar' Rafidah - Shahrizat semakin memburuk

Safar Jumaat


'ORANG lihat Rafidah (Tan Sri) kerana dia lama. Orang lihat Rafidah kerana dia garang. Orang lihat Rafidah kerana dia bercakap lantang tetapi orang tidak tahu siapa Shahrizat (Dato' Seri)', kata-kata ini sedang berpindah dari mulut ke telinga dan dari mulut ke mulut.

Memetik kata-kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Johor, Dato' Halimah Mohd Sadique baru-baru ini, jangan 'telanjangkan' Wanita memberi erti, 'peperangan besar' sedang berlaku sekarang, setelah lebih 12 tahun Wanita Umno tidak terlibat dalam 'peperangan' seperti ini.

Orang kuat Rafidah memberitahu, sejarah paling besar Shahrizat dalam Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat ialah kesemua pimpinannya (Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen) tewas sekaligus dalam Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12), 8 Mac lalu.

Sejarah ciptaan Shahrizat ini bukan senang untuk diulangi sesiapa dan jangan pula terkejut jika Shahrizat sekali lagi mencipta sejarah kekalahannya.

Kali ini dia akan kalah di tangan Rafidah pula, pemimpin yang membimbing dia, sejak sekian lama.

Kata penyokong Rafidah, jika gelaran pemangku dijadikan alasan untuk menolak 'Pelan Peralihan Jawatan', ternyata Shahrizat silap. Apakah kalau dia tidak menjadi pemangku, kepimpinannya akan diterima oleh kepimpinan (Wanita) parti-parti komponen yang lain? Jawapannya, belum tentu!

Walau apapun yang Dato' Raja Ropeah Raja Abdullah salah seorang Exco yang menunjukkan belangnya mahu menyokong Shahrizat perkatakan, kononnya Rafidah tidak berbincang terlebih dahulu dan sebagainya..hari ini, Wanita Umno terbahagi dua.

Yang bermati-matian mempertahankan Rafidah, secara total menolak Shahrizat dan yang menyokong Shahrizat, secara totoknya, mahu melihat Rafidah dikalahkah.

Cerita kempen, cerita Shahrizat yang tidak mahukan Dato' Seri Azalina Othman dicalonkan sebagai Naib Ketua Wanita Umno.

Kononnya, jika orang menang diterima, maka beratlah peluang Shahrizat untuk menjadi Menteri semula.

Tetapi kalau orang macam Dato' Kamilia Ibrahim yang sudah tamat dua penggal menjadi Senator dan tidak bertanding dalam PRU 12 yang lalu, Shahrizat dikatakan lebih selesa.

Sejauh mana cerita ini betul, tidak ada siapa yang boleh mengesahkannya tetapi hendak menolak kesemuanya, seperti ada kebenarannya pula. Khabarnya, Shahrizat meyakinkan Rafidah supaya jangan menerima 'kehadiran' Azalina.

Apabila beberapa bahagian mula mencalonkan Shahrizat sebagai ketua dan Kamilia sebagai naib, ada beberapa orang Exco Wanita membisikkan kepada Rafidah, supaya meneliti semula Pelan Peralihan Jawatan dan turut mencari 'regu' baru selepas Shahrizat sudah kelihatan beregu dengan Kamilia;

"Jangan! Saya tidak setuju. Saya mahu terus dengan apa yang sudah dijanjikan," Rafidah dipetik sebagai berkata demikian bagi menolak sangkaan mengatakan dia akan dipermainkan Shahrizat.

Tenyata, cakap-cakap beberapa Exco yang menasihatkan Rafidah dahulu itu, seperti betul-betul berlaku dan Rafidah kini bertanding bersendirian, tanpa ada sesiapa beregu dengannya untuk menjadi naib.

Ketika Shahrizat berseronok menjadi calon yang mewakili Wilayah Persekutuan, khabarnya hanya Wanita Bahagian Cheras di bawah Dato' Faridah Abu Hassan sahaja tidak bersama-samanya tetapi ada juga yang mengatakan Dato' Azizah Samad dari Bahagian Seputeh juga 'disangsikan' pendiriannya menyokong Shahrizat.

Menurut ceritanya, ada tiga nama disenaraikan untuk turut mengutip pencalonan bagi jawatan naib. Pertama Dato' Halimah Mohd Sadique, kedua, Dato' Maznah Mazlan dan ketiga, Azalina. Namun, Halimah tidak berminat kerana mahu memberi peluang penyandang jawatan Timbalan Menteri atau Menteri ke depan.

Kata yang bercerita, Halimah tidak mahu dicalonkan kerana dia serius untuk berundur. Itulah sebabnya, jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Tenggara pun tidak dipertahankannya.

Dia lebih berminat jika Maznah dicalonkan tetapi tidak mendapat restu Rafidah, kerana Rafidah mahu berpegang dengan Pelan Peralihan Jawatan yang sudah disusunnya.

Satu sumber lain pula memberitahu, Shahrizat mendapat nasihat dari bekas Setiausaha Politiknya, yang kini bekerja kuat untuk mempertahankan legasi Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Umno, Dato' Reezal Merican Naina Merican.

Reezal dipercayai menasihatkan Shahrizat supaya menentang Rafidah kerana khuatir Rafidah terus menyerang Abdullah jika dia masih kekal menjadi Ketua Pergerakan Wanita Umno.

Kata sumber itu lagi, Reezal tidak puashati dengan Rafidah yang membuat desakan supaya Abdullah berundur awal dan akibat dari itu, Reezal menyakinkan Shahrizat, dengan bantuan Dato' Alwee Che Ahmad sekali, Abdullah lebih seronok jika Rafidah ditentang dan mengharapkan Shahrizat mempunyai kekuatan mengalahkan Rafidah.

Dalam beberapa wawancara dengan media, Rafidah memang tidak yakin kepada kemampuan Shahrizat untuk menghadapi pilihan raya. Malah, kekalahan Shahrizat di Lembah Pantai di tangan calon KeADILan, Nurul Izzah Anwar yang terlalu mentah menyebabkan Rafidah cukup kecewa.

"Kalau kawasan sendiri pun kalah, macam mana nak buat kerja untuk membantu kawasan lain," sumber itu memberitahu kononnya Rafidah sering mengulang-ulangi ayat serupa apabila bercakap soal Shahrizat mahu bertanding menentangnya.

Itulah sebabnya Rafidah dikatakan memerlukan tiga bulan selepas pemilihan bagi menyusun kerja, memberi keyakinan kepada rakan-rakan komponen dan beberapa strategi lain bagi memudahkan Shahrizat meneruskan tugasnya.

"Malangnya, dia tidak sabar. Dia terpengaruh dengan desakan orang lain yang tidak tahu secara mendalam Pergerakan Wanita Umno dan dia bersedialah untuk menerima akibatnya," kata sumber itu.

Malahan, sumber itu turut menyebut bahawa Pergerakan Wanita Umno tidak akan sekuat sebelumnya selepas pertandingan kali ini, tanpa mengira siapa yang menang dan siapa yang kalah.

Yang menang akan membawa gengnya bersama dan yang kalah akan terus disisihkan kerana mereka dianggap kumpulan yang tidak tahu bersabar dan tidak tahu erti kesetiaan bila berjanji.

Khabarnya Najib lebih selesa dengan Rafidah tetapi Abdullah dikatakan mahukan Shahrizat.

Ketika Abdullah dilihat tidak bersetuju dengan Tan Sri Muhyiddin, tetapi dalam isu Wanita Umno, Abdullah dan Muhyiddin dikatakan senada mahukan Shahrizat.

Jika Rafidah menang, Muhyiddin dalam bahaya untuk menang kerusi Timbalan Presiden tetapi jika Shahrizat menang, Muhyiddin bolehlah mengadakan kenduri awal di rumah Shahrizat meraikan kemenangan bersama, walaupun pengundian bagi jawatan Timbalan Presiden belum bermula! - mr_

Tiada ulasan: