AFP
SINGAPURA – Singapura tidak akan menandatangani perjanjian bagi mengharamkan penggunaan bom berangkai tetapi akan menghentikan eksportnya, kata pegawai hari ini.
Perjanjian itu telah diluluskan sebulat suara oleh lebih 100 buah negara yang menghadiri satu konvensyen di Dublin, Ireland pada Mei lalu dan dijangka ditanda tangani di Oslo pada bulan depan.
Perjanjian itu mengharamkan penggunaan, penghasilan, pemindahan dan penyimpanan bom berangkai.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan penggunaan bom tersebut “menyebabkan kecelakaan kepada manusia semasa konflik tercetus dan dalam jangka masa panjang.”
Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan bersama berkata, pengharaman menyeluruh bom berangkai itu tidak praktikal kerana banyak negara melihat penggunaannya adalah perlu untuk aspek mempertahankan diri.
“Singapura terus komited dalam penggunaan bom berangkai secara bertanggungjawab bagi mempertahankan diri dan akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk mencari penyelesaian menyeluruh ke atas masalah kemanusiaan yang timbul daripada penggunaan bom itu secara tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, langkah menghentikan eksport bom itu akan memastikan ia tidak berpindah tangan kepada pihak yang mungkin menyalahgunakan bom tersebut.
“Melalui pendekatan itu, kami dapat membendung penggunaan bom berangkai (oleh pihak tidak bertanggungjawab),” jelas kenyataan itu.
Singapura merupakan salah sebuah negara di Asia yang mempunyai kelengkapan ketenteraan moden.
Antara negara pengeluar dan penyimpan utama bom berangkai ialah Amerika Syrikat (AS), Rusia, China, India, Israel dan Pakistan.
Kesemua negara tersebut tidak menghadiri konvensyen di Dublin pada Mei lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan