Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Umno akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang.
"Ramalan saya ialah Umno akan kalah teruk pada pilihan raya umum ke-13. Mendapat sokongan daripada parti (melalui rasuah) tidak akan menjamin kemenangan dalam pilihanraya umum.
"Yang memberi kemenangan kepada calon-calon Umno dahulu ialah undi ahli bersama dengan penyokong luar, penyokong bukan Umno. Jangan fikir hanya dengan undi ahli Umno sahaja kemenangan akan diperolehi.
"Dalam pilihanraya umum ke-12 ramai ahli Umno pun tidak undi calon BN (Barisan Nasional). Dan amat ramai daripada penyokong-penyokong (bukan ahli) Umno yang undi parti lawan. Itulah yang memberi keputusan yang buruk bagi BN dalam pilihanraya umum ke-12," katanya.
Beliau mengingatkan, kelebihan undi bagi calon Umno yang menang tidak sebesar dahulu.
"Jika hanya separuh lebih sedikit daripada kelebihan kecil ini berpaling tadah dan mengundi parti lawan Umno akan kalah dimana dahulu ia menang," katanya.
Beliau mendedahkan, "orang yang terkenal menyogok wang untuk jadi pemimpin Umno, jika mereka dipilih akan menyebabkan Umno ditolak dalam pilihan raya umum".
"Rakyat tahu siapa mereka walaupun sukar bagi mendapat bukti yang mereka ini adalah perasuah," katanya.
Mengkhianati bangsa
Beliau juga memberi amaran yang keras kepada perwakilan-perwakilan Umno yang memilih pemimpin yang menyogok mereka.
"Perwakilan Umno yang menerima sogokan dan memilih orang yang dikenali sebagai perasuah, harus ingat apabila mereka memilih orang ini, mereka sebenarnya mengkhianati bangsa, agama dan negara hanya kerana sedikit wang yang akan habis dibelanjakan dalam sekelip mata.
"Kamu dan zuriat kamu akan dikutuk oleh bangsa kamu tiap kali mereka menderita kerana kamu telah jual bangsa dan negara kamu untuk sedikit wang," kata bekas Presiden Umno itu.
Dr Mahathir juga mempersoalkan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata usaha membanteras gejala politik wang dalam Umno adalah satu proses yang memerlukan keazaman politik dan secara realistiknya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
"Semasa dia (Dr Mahathir) tamat sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, dia menyatakan kekecewaannya kerana gagal membanteras politik wang," kata Najib.
Mengulas kenyataan Najib itu, Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju dengan pendapat Najib bahawa usaha membanteras politik wang perlu keazaman politik.
Bagaimanapun, Dr Mahathir mempersoalkan: "Keazaman politik siapa? Apakah keazaman politik mereka yang ingin dicalonkan dan sudah hulur wang sogokan?"
Beliau juga mempersoalkan, apakah keazaman pemimpin Umno untuk melihat parti itu bersih daripada politik kotor.
"Jika pemimpin yang perlu banteras, yang mana satukah pemimpin yang perlu berazam; pemimpin cawangankah, bahagian, Majlis Kerja Tertinggi atau Presiden parti?" soal beliau.
Laporan polis ke atas Najib
Walaupun Dr Mahathir mengakui rasuah berlaku ketika beliau menerajui Umno, tetapi beliau menyifatkannya tidak seburuk rasuah politik di dalam Umno pada masa ini.
"Ya, memang pun semasa saya dahulu sudah ada politik wang.
"Tetapi peristiwa sogokan secara terbuka dan besar-besaran sehingga ramai dalam masyarakat pandang jijik akan politik Umno tidak berlaku dahulu.
"Tidak pernah terjadi yang Presiden parti didakwa terlibat dengan politik wang melalui laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR)," katanya.
4 September lalu, bekas exco Pemuda Umno, Datuk Mazlan Harun membuat laporan kedua kepada (BPR) berhubung dakwaan rasuah membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib sendiri.
Menjelaskan lebih lanjut tentang betapa buruknya rasuah politik di dalam Umno hari ini, Dr Mahathir berkata, tidak pernah Lembaga Disiplin parti itu menerima sehingga 900 laporan berkenaan politik wang.
"Tidak pernah BPR terima banyak laporan rasuah untuk pencalonan bagi jawatan dalam Umno," katanya.
Dr Mahathir mengingatkan, "membuat alasan bahawa dulu pun ada rasuah tidak menghalalkan rasuah sekarang, terutamanya rasuah terbuka dan besar-besaran".
Beliau seterusnya mengingatkan, hari ini di mana-mana juga rakyat bercakap tentang rasuah dalam pencalonan kepimpinan Umno.
"Dahulu rakyat/pengundi tidak anggap Umno sebagai parti pimpinan perasuah seperti hari ini," katanya._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan