HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2008

Monopoli punca Melayu gagal

Oleh ZULHISHAM ISHAK


KOTA KINABALU - Monopoli berterusan syarikat-syarikat besar bumiputera terhadap projek-projek mega didakwa menjadi punca utama kegagalan pencapaian 30 peratus ekuiti bumiputera di negara ini.

Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, sikap tamak dan mementingkan diri itu mengakibatkan kadar pencapaian ekuiti bumiputera kini hanya 18.9 peratus.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, keadaan tersebut membuatkan sasaran 30 peratus itu terbantut sekali gus merugikan syarikat-syarikat kecil dan sederhana milik bumiputera.

"Walaupun kerajaan masih belum wujudkan undang-undang antimonopoli di negara ini tetapi perbuatan tersebut tidak harus dibiarkan.

"Syarikat-syarikat besar yang mendapat projek besar tidak beri kepada orang lain sebaliknya mereka sanggup tubuhkan syarikat baru dengan menggunakan nama lain semata-mata untuk mendapatkan semua projek,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui selepas merasmikan Program Memperkasa Ekonomi Bangsa ke-20 di Hotel Beverly, di sini malam tadi.

Abdul Rahim mengulas permintaan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed yang melawat Sabah minggu lalu, supaya projek-projek mega tidak dibolot sepenuhnya oleh syarikat-syarikat besar tetapi turut diagihkan sebanyak 10 peratus kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai menggesa penghapusan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam kerana mendakwa ia menjadi halangan dalam mewujudkan kerjasama jitu antara peniaga Melayu, Cina dan India di negara ini.

Abdul Rahim seterusnya berkata, pengagihan projek- projek mega perlu diberikan kuota yang lebih besar kepada syarikat-syarikat yang kecil dan sederhana khususnya kontraktor kelas F.

"Setiap projek besar yang dianugerahkan kepada mereka yang layak, perlu disyaratkan supaya sebahagian daripadanya iaitu 10, 20 atau 30 peratus projek diagihkan kepada kontraktor-kontraktor kecil.

"Tetapi kontraktor-kontraktor kecil itu mestilah berwibawa dan mempunyai rekod cemerlang," katanya.

Dalam hal ini, katanya, Gabem menawarkan diri untuk menjadi rujukan utama pihak yang berkaitan.

Gabem katanya, akan bekerjasama dengan badan, persatuan, koperasi dan dewan-dewan perniagaan milik bumiputera di seluruh negara untuk mendapat maklumat lengkap mengenainya.

Tiada ulasan: