HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 November 2008

Raja Petra mahu mahkamah keluarkan sepina terhadap Azilah, Sirul Azhar

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang menghadapi pertuduhan memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri dan dua lagi dalam satu akuan berkanun (SD), hari ini meminta Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan sepina terhadap dua anggota polis.

Peguamnya Manjeet Singh Dhillon berkata, pihak pembelaan telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah pada 20 Nov supaya mengeluarkan sepina terhadap C/Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar, yang beliau ingin panggil sebagai saksi pembelaan dan juga untuk tujuan pengenalan dalam kes pendakwaan.

Manjeet berkata, pembelaan menyenaraikan enam saksi termasuk Azilah dan Sirul Azhar. Kedua-dua mereka telah diperintahkan membela diri terhadap pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi Shah Alam mulai 15 Jan tahun depan.

Beliau turut memohon mahkamah supaya menangguhkan perbicaraan kes Raja Petra sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung keterangan pembelaan Azilah dan Sirul Azhar.

Katanya, jika mahkamah memutuskan untuk meneruskan perbicaraan itu, ia akan menimbulkan subjudis kepada kes Raja Petra memandangkan keterangan Azilah dan Sirul Azhar akan serupa dengan kandungan SD Raja Petra.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Anselm Charles Fernandis membantah permohonan Manjeet supaya mahkamah mengeluarkan sepina terhadap Azilah dan Sirul Azhar dengan mengatakan Manjeet sepatutnya hanya mengemukakan permohonan selepas mahkamah memerintahkan Raja Petra membela diri atas pertuduhan terhadapnya. Beliau berkata pada peringkat ini perbicaraan masih belum bermula.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat berkata, beliau akan memutuskan kemudian sama ada akan mengeluarkan sepina ke atas Azilah dan Sirul Azhar.

Pada 15 Ogos, Raja Petra didakwa melakukan tiga kesalahan di Mahkamah Tinggi Sivil 5 di tingkat empat Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini pada 10.25 pagi, 18 Jun.

Selain pertuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Raja Petra turut didakwa memfitnah pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan.

Jika disabitkan kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda atau keduaduanya bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan dan pendakwaan telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya bersedia memanggil saksi yang pertama.

Bagaimanapun, apabila mahkamah mula bersidang, Manjeet membuat bantahan awal bagi mendapatkan perintah Mahkamah Sesyen supaya perbicaraan kes Raja Petra didengar semula di Mahkamah Majistret atas alasan perintah Majistret adalah tidak sah, batal dan bertentangan dengan peruntukan dalam Seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Pada 15 Ogos, Majistret Nazran Mohd Sham membenarkan permohonan DPP Amir Nasruddin untuk memindahkan kes Raja Petra ke Mahkamah Sesyen atas alasan kes itu membabitkan kepentingan awam.

Manjeet berhujah bahawa mengikut Seksyen 177, tidak ada alasan "ia membabitkan kes kepentingan awam", oleh itu perintah majistret supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen adalah tidak mengikut perlembagaan dan melanggar persamaan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

DPP Anselm akan mengemukakan jawapan balas esok.

Tiada ulasan: