SINAR HARIAN ONLINE
SEPANG - Polis menahan sembilan pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di sini, semalam bagi membantu siasatan kes pukul melibatkan pelajar semester akhir institut tersebut 21 November lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayob berkata, penahanan dibuat selepas kesemua suspek disyaki terlibat memukul Izam Rozlin, 21, penuntut semester akhir Aliran Perkakasan ‘Tool Maker Press’ sesi 2007- 2008.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau pun denda, atau kedua-duanya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Zahedi, kesemua sembilan pelajar terbabit ditahan polis semasa mereka sedang menghadiri sesi pembelajaran kira-kira jam 9 pagi, semalam.
Pada kejadian Jumaat lalu, Izam Rozlin mendakwa dipukul 10 rakan sekelasnya yang menuduhnya mencuri dua buku kedatangan harian kelas sehingga menyebabkan mangsa mengalami bengkak dan lebam di seluruh badan.
Sementara itu, bapa pelajar mangsa pukul, Rozlin Saad, 50, tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan saman kepada IKTBN Sepang atas kecuaian mereka menjalankan tugas sebagai pendidik.
Menurut beliau, IKTBN perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan tegas atas ketidakprihatinan memantau dan memastikan pelajarnya berada dalam keadaan selesa untuk belajar .
“Saya menghantar anak saya ke situ untuk belajar dan mengharapkan keadaan serta suasana baik, namun apa yang pasti keadaan itu tidak berlaku di situ. Selepas kejadian itu, anak saya malu dan tertekan kerana sikap tenaga pengajar yang seolah-olah membenarkan kepada gangsterism,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai bentuk tindakan yang akan dikenakan kepada IKTBN beliau berkata, perkara itu masih awal dan akan melantik peguam untuk mengendalikannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan