HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 November 2008

Baik untuk kesihatan namun ada unsur mantera - Dr Lo'Lo'

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Walaupun tidak nafikan latihannya baik untuk kesihatan namun percampuran mantera dan mempunyai unsur keagamaan menyebabkan yoga diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'Lo' Ghazali berkata Majlis Fatwa tersebut telah mengambil langkah yang bertepatan apabila mengumumkan fatwa meminta umat Islam negara ini tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa tersebut, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin yang menyatakan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.

Jelas Lo'lo' yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, fatwa tersebut dikeluarkan mungkin disebabkan timbul kekeliruan dan kemusykilan orang ramai tentang senaman yoga tersebut.

"Pendapat menyatakan bahawa yoga yang dilakukan tidak disertai dengan bacaan mentera dan hanya sekadar senaman, itu berdasarkan keyakinan dirinya. Peraturan ini ada macam-macam, tapi tak semua orang ikut.

"Dari segi kesihatan memang bagus sebab melibatkan latihan pernafasan. Tetapi mungkin disebabkan pencampuran dengan mentera serta asal usul yoga itu sendiri," katanya yang ditemui sewaktu majlis pelancaran Rakan Anti Dadah (Rada) peringkat Kebangsaan di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Tiada ulasan: