HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 November 2008

Muslimat jangan jadi `kain buruk'

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Muslimat mesti peka dan sensitif dengan isu semasa disamping mempunyai ilmu yang mantap dan bijak berkomunikasi bagi memudahkan kerja-kerja dakwah disampaikan kepada seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan fahaman politik.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan At Tantawi, kerja-kerja dakwah itu terlalu syumul dan jika muslimat menganggap berdakwah itu sebagai satu profesion maka ia merupakan satu kerja yang terlalu baik.

Beliau mengingatkan seluruh muslimat supaya tidak mudah berasa kecewa atau hina untuk bekerja mengajak manusia kembali kepada Allah sehingga ada sebilangan kecil muslimat berasa rendah diri untuk kerja berdakwah.

"Kita kena rasa seronok dan bangga dengan kerja mengajak manusia untuk kembali kepada Allah kerana Allah mengikhtifar manusia tersebut, tidak ada sebab muslimat berasa kecil hati atau hina sebaliknya perlu bersemangat walaupun tidak ada pengikhtifaran," katanya.

Beliau tidak menafikan memang tidak ada sesiapa yang akan memberi pengikhtirafan sebaliknya hanya menerima tohmahan atau fitnah.

Justeru, katanya muslimat bukan melakukan kerja biasa tetapi tugas yang dipikul oleh Nabi Muhamad s.a.w. di mana Allah SWT telah memerintah Nabi supaya mengajak manusia untuk kembali kepada Allah.

Muslimat juga diingatkan menggunakan kebijaksanaan berdakwah walaupun mendapat halangan daripada pihak musuh yang menggunakan anggota polis untuk melemahkan muslimat meneruskan dakwah.

"Muslimat perlu menjadi air mata yang turun dari bukit, di halang kiri keluar kanan, dihalang atas keluar bawah dan akhirnya boleh meruntuhkan semua dinding yang menghalang," katanya.

Beliau berkata jika berdakwah itu terpaksa berhenti disebabkan ada halangan sudah pasti Nabi Muhammad s.a.w. tidak meneruskan berdakwah setelah mendapat halangan daripada Abu Jahal.

Tugas berdakwah wajib digalas oleh semua pihak dengan tahap dan pemikiran masing-masing tetapi mesti berpanjangan tanpa mengira musim seperti masa kempen pilihan raya.

Beliau menegaskan PAS tidak mahu ada pejuang Islam yang menjadi `kain buruk' iaitu lama menjadi ahli PAS tetapi tidak hadir usrah, mesyuarat, tamrin dan segala program PAS.

Sebagai pendakwah katanya muslimat perlu berani keluar daripada kurungan berdakwah dikalangan ahli-ahli PAS kerana ramai golongan bukan Islam seperti India dan Cina masih tidak tahu kebenaran ajaran Islam.

Menurut beliau kehebatan pendakwah tidak hanya terletak kepada pendidikan dan keanehan idea tetapi terletak pada sejauh mana muslimat boleh menegakkan Islam dalam diri dan keluarganya serta mampu mempengaruhi sasaran.

Beliau turut mengingatkan muslimat supaya berdakwah tidak hanya mengupas isu semata-mata tetapi mampu membentuk ilmu pengetahuan dan berjaya memberi kesedaran serta keinsafan kepada ummah.

Katanya, realiti dakwah sekarang telah melepasi zon demokrasi yang tidak demokratik lantaran itu sistem dakwah mesti peka dan sensititf supaya berjaya melepasi halangan tersebut._

Tiada ulasan: