HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 November 2008

Tengku Budriah selamat disemadikan di Kangar

BERNAMA


KANGAR: Raja Perempuan Besar Perlis Tengku Budriah Tengku Ismail, 84, yang mangkat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal hari ini selamat disemadikan di Makam DiRaja Arau di sini petang ini.

Almarhum yang merupakan Raja Permaisuri Agong yang ketiga antara 1960 dan 1965 disemadikan pukul 6 petang bersebelahan makam almarhum suaminya Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Tengku Budriah yang juga bonda Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mangkat pukul 3.47 pagi tadi setelah gering di situ. Selama mana baginda gering tidak pula dinyatakan oleh pihak istana.

Antara yang memberi penghormatan terakhir di Kuala Lumpur ialah Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jenazah diterbangkan dengan pesawat Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari lapangan terbang Subang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pukul 9.30 pagi dengan diiringi Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. Di Alor Star, ketibaan jenazah di lapangan terbang itu disambut oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu serta anggotaanggota dewan undangan negeri termasuk bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jenazah kemudiannya dibawa dengan kenderaan Hospital Tunku Fauziah (HTF) dengan diringi kerabat diraja serta dari lapangan terbang itu ke Istana Arau dan tiba di perkarangan istana itu pukul 11.45 pagi.

Jenazah almarhum diletakkan di astaka khas Diraja di Balai Rong Seri di Istana Arau bagi memberi peluang kepada para tetamu dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir selama sejam bermula pukul 2 petang.

Sultan dan Sultanah Kedah adalah antara wakil raja-raja Melayu yang turut memberi penghormtan terakhir kepada almarhum di Istana Arau. Sembahyang jenazah dilangsungkan di Istana Arau pada pukul 3.30 petang dengan diimamkan oleh imam dua Masjid Negeri, Ustaz Ahmad Mahad Adam sebelum disembahyangkan kali keduanya di Masjid Negeri, selepas solat Asar dengan diimamkan oleh imam satu Masjid Negeri, Muridi Mohamad. Kemudian jenazah diusung oleh pasukan keselamatan yang diketuai oleh Lt Kol Azhar Che Man ke Makam Diraja Arau yang terletak kirakira 300 meter dari Masjid Negeri. Istiadat pemakaman itu disaksikan oleh wakil rajaraja Melayu, kerabatkerabat diraja serta rakyat jelata.

Kemangkatan baginda disifatkan kehilangan besar kepada negara terutama kepada perjuangan kaum wanita.

Tengku Budriah Tengku Ismail, mangkat di Hospital Kuala Lumpur pada 3.47 pagi tadi.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengumumkan kemangkatan bonda Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu melalui stesen Radio Malaysia Perlis sebentar tadi.

Almarhum adalah Raja Permaisuri Agong yang ketiga antara 1960 dan 1965 dan menjadi Raja Perempuan Perlis bermula 1945 sehingga kemangkatan almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 2001.

Md Isa berkata, bagi menghormati kemangkatan itu, bendera dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini dan semua acara keramaian dan berbentuk hiburan ditangguhkan.

Tiada ulasan: