HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 November 2008

Tiada permit himpunan mansuh ISA Pakatan terbatal

NURUL AIN MOHD. HUSSAIN
[DIKEMAS KINI]


AMPANG: Perhimpunan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI), yang dijadual berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) malam tadi terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan polis.

Kira-kira tujuh penyokong Pakatan Rakyat ditahan gara-gara tidak mahu bersurai apabila diarahkan oleh polis.

Kempen tersebut dijadual dilancarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak hadir.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua ketika dihubungi oleh mStar Online berkata: “Memang betul Datuk Seri (Anwar) dan yang lain-lain tidak dapat hadir."

"Mereka sudah bersiap mahu ke tempat ceramah tapi pada saat-saat akhir mereka telah dimaklumkan oleh penganjur, polis mahu suraikan perhimpunan ini. "Jadi mereka tidak dapat hadir,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Batu.

Beliau turut mengecam tindakan polis menahan penyokong yang hadir dan meyifatkannya sebagai tindakan yang tidak wajar.

“Kenapa perlu tahan mereka (penyokong)? Mereka tidak buat apa-apa pun. Kenapa polis perlu bertindak kasar terhadap mereka? Tindakan mereka (polis) ini langsung tidak masuk akal,” katanya.

Jumaat lalu, polis menolak permohonan pihak penganjur untuk mendapatkan permit untuk mengadakan perhimpunan malam tadi.

Polis turut mengadakan sekatan di Jalan Pandan Indah menuju ke Dataran MPAJ.

Dalam pada itu, di kawasan Dataran MPAJ empat trak polis diletakkan di kawasan berkenaan.

Pada pukul 9.30 malam ketika Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika berucap berkata: “Permit tidak dikeluarkan lebih kurang dua hari lalu. Maklumlah Malaysia masih lagi negara jakun. Perhimpunan aman masih memerlukan permit.”

Jelas beliau, Pakatan Rakyat akan mengadakan satu lagi perhimpunan di Stadium Selayang, namun tarikh akan diputuskan nanti.

Katanya, menjelang bulan Mac depan diharap ISA akan dapat dimansuhkan.

Kata-kata beliau itu diikuti dengan laungan mansuhkan ISA.

Sebaik sahaja selesai Mat Sabu berucap kira-kira 40 anggota polis anti-rusuhan mula bertindak menyuraikan orang ramai.

Biarpun hujan turun dengan lebat penyokong-penyokong yang hadir enggan berganjak, sehingga tercetusnya pergaduhan di antara pihak polis dan penyokong pembangkang.

Pergaduhan yang tercetus menyebabkan anggota polis anti-rusuhan terpaksa mengambil tindakan tegas menahan penyokong degil.

Kejadian tolak-menolak antara polis anti-rusuhan dan penyokong parti pembangkang berlaku kira-kira lima minit.

Kejadian itu menyebabkan tujuh penyokong ditahan polis.

Dianggarkan kira-kira 100 penyokong hadir pada perhimpunan berkenaan.

Menurut Setiausaha GMI, E. Nalini, tiga daripada mereka yang ditahan itu ialah Ketua Unit Amal PAS Wilayah Persekutuan (WP), Saifuddin Abdullah; Ketua Pemuda PAS WP, Kamaruzzaman Mohamad dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamdan.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Polis turut mengadakan sekatan di Jalan Pandan Indah menuju ke padang MPAJ.

Tiada ulasan: