ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
KUALA LUMPUR: Barangkali ada beranggapan ia kebetulan, tetapi realitinya belum pernah industri hiburan tanah air menyaksikan terbongkar kisah sekurang-kurangnya 18 artis terbabit masalah rumah tangga dengan sebahagian besar membabitkan kes perceraian hanya dalam tempoh 11 bulan.
Lebih ‘menakjubkan’, dalam tempoh itu perceraian di kalangan golongan terbabit berlaku hampir setiap bulan.
Berdasarkan rekod, penyanyi, Azharina Azhar atau Azharina, 23, membuka tirai episod perceraian 2008 apabila bercerai dengan suaminya Datuk Sukri, 50, pada Februari lalu.
Ini diikuti penyanyi, Farah Asyikin Zulkifli atau Farah Asyikin, 28, dengan Dr Fariz Yahya, 30 (26 Mei), sehinggalah yang terakhir pelakon, Nasrizal Ngasri atau Bell, 29, dengan Nur Farhana Mahamad Fauri, 26, (24 November). Noraniza Idris, 40, turut bercerai untuk kali kedua dalam tempoh berkenaan, tetapi tarikhnya tidak diketahui.
Menarik mengenai kontroversi membabitkan Bell, pelakon filem baru Antoo Fighter itu pernah membuat penafian menghantar SMS cerai kepada isterinya dan mengakui hanya mengikuti sesi kaunseling di akhbar ini, tetapi kebenaran akhirnya terungkai apabila kes SMS itu dibawa ke mahkamah sehingga sah bercerai talak satu.
Selain perceraian, beberapa artis turut terbabit pergolakan rumah tangga dengan kisah pelakon, Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim, 32, dan Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi, 30, paling hangat diperkatakan, terutama selepas Norman ditangkap khalwat dengan pelakon baru, Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20. Abby meminta supaya diceraikan tetapi sehingga hari ini tiada kisah terbaru daripada mereka.
Kisah penyanyi, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25, atau Erema yang memfailkan cerai terhadap suaminya, Jamaludin Sulik atau Seri Bayu, 43, juga mendapat perhatian kerana permohonan cerai dibuat ketika penulis lirik itu menderita penyakit saraf dan dalam keadaan tidak upaya.
Kes tuntutan cerai Erema akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya Selangor, 1 Disember ini.
Turut tersenarai dalam kontroversi pergolakan rumah tangga sepanjang tempoh 11 bulan ini ialah pelakon, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 28, atau Beego dengan isterinya Intan Shahira Mohd Shahru, 27, yang kesnya masih dalam perbicaraan dan penyanyi, Jamaluddin Elias, 48, atau Nash dengan Sosilawati Lawiya, 44, yang perbicaraan kes perceraian mereka sudah selesai tetapi masih tinggal berasingan walaupun mahkamah memutuskan mereka sah sebagai suami isteri.
Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, 46, pula meragui status perkahwinannya dengan ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, sehingga terpaksa mencari penyelesaian di Mahkamah. Kes ini masih dalam perbicaraan.
Terbaru, penyanyi dan pelakon, Mohd Radhi Razali, 31, atau Radhi OAG turut terbabit dalam kemelut pergolakan rumah tangga di kalangan artis apabila isterinya, Shazlin Sharif, 30, memohon fasakh dan pengesahan perceraian. Bagaimanapun, Radhi tidak hadir buat kali ketiga 25 November lalu.
Bagi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), ia fenomena membimbangkan, manakala Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Penyanyi Pemuzik Dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) mahu campur tangan untuk membantu dengan mempertimbangkan mengadakan kursus mengenai pentingnya institusi perkahwinan dan kebahagiaan rumah tangga kepada golongan terbabit.
Presiden PGSM, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata apabila timbul masalah membabitkan artis, sekalipun mengenai pergolakan rumah tangga, ia wajar diberi perhatian serius kerana mereka (artis) ‘milik masyarakat’.
“Artis perlu sedar mereka ada peminat yang mengikuti perkembangan hidup mereka. Sebab itu mereka perlu berhati-hati dan bersikap rasional dalam apa jua tindakan yang bakal diambil.
“Segala keputusan, sama ada suka atau tidak, mereka perlu fikir panjang. Ini kerana permasalahan itu, mahu tidak mahu, terpaksa dikongsi dengan peminat dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, dia khuatir perceraian di kalangan artis dianggap perkara biasa dan secara tidak langsung menjadi ikutan membuta tuli.
“Kita tidak mahu tanggapan begini terjadi, ia (perceraian) dianggap norma biasa. Orang akan kata, perceraian bukan perkara asing lagi, apatah lagi membabitkan artis,” katanya.
Tambah beliau, artis juga tiada pilihan dan perlu menjadi contoh dan teladan baik kepada peminat dan masyarakat yang memerhatikan mereka.
Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, pula berkata adalah wajar artis yang hendak berkahwin diberi kursus tambahan atau ceramah khas mengenai kepentingan perkahwinan.
Katanya, walaupun ada kursus dijalankan jabatan agama, perlu ada ‘pengisian’ tambahan kepada artis supaya mereka lebih memahami tanggungjawab yang perlu ditunjukkan dalam masyarakat.
“Saya akan usulkan dalam mesyuarat akan datang mengenai masalah (perceraian) ini dan mencadangkan supaya diadakan ceramah atau kursus tambahan. Kita akan meminta kerjasama jabatan agama terbabit untuk melaksanakannya.
“Bukan niat mencampuri urusan rumah tangga artis lain, tetapi sebagai orang lama dalam bidang ini, artis perlu sedar tanggungjawab mereka besar, tidak saja kepada isteri dan keluarga tetapi masyarakat,” katanya.
Mustapha berkata, artis tidak boleh mendabik dada dan mengambil sikap sambil lewa, terutama dalam kes perceraian, kerana mereka perlu fikirkan akibat perbuatan mereka.
“Saya faham, bukan senang menjadi artis. Saya melaluinya selama bergelumang dalam dunia seni, sebab itu saya nasihatkan mereka (artis) supaya berhati-hati dengan apa-apa jua tindakan dan tingkah laku.
“Mereka perlu pandang ke depan, jika tersilap langkah banyak kesan negatif. Ia bukan saja membabitkan keluarga dan diri sendiri, malah kerjaya, termasuk produksi, pengarah filem dan drama, atau penerbit lagu dan sebagainya.
“Artis tidak sama dengan orang biasa, banyak perkara perlu diambil kira dalam sesuatu keputusan, meskipun membabitkan masalah peribadi. Ada kala, saya bersimpati dengan apa yang menimpa artis, tetapi itu cabaran yang perlu mereka galas,” katanya.
Presiden Papita, Datuk M Daud Wahid, turut bersetuju jika artis yang hendak melangsungkan perkahwinan atau sudah berkahwin diberi kaunseling dan pendedahan agama dengan lebih mendalam mengenai pentingnya menjaga keutuhan rumah tangga yang mereka bina.
Katanya, memandangkan lumrah menjadi artis yang tidak terlepas daripada perhatian masyarakat, cara berkenaan penting bagi memberi kesedaran kepada golongan terbabit.
“Bagi saya, dalam hal ini kekuatan agama penting. Namun saya sedar dunia artis ini lain, banyak dugaan perlu dilalui. Artis itu perlu bijak menangani masalah mereka,” katanya.
Pun begitu, kata beliau, artis perlu menyokong saranan mengadakan kursus tambahan, ceramah dan kaunseling.
“Kalau artis tidak datang ke program dirancang, itu juga menjadi masalah. Sebab itu kesedaran dalam diri artis perlu ada,” katanya.
Selain artis, masalah rumah tangga golongan selebriti di kalangan pengacara televisyen turut mendapat perhatian. Pada 26 November lalu, Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan pengesahan lafaz cerai pengacara rancangan 360 Darjah dan Malaysia Hari Ini (MHI), Mazidul Akmal Sidik, 41, terhadap isterinya, Khairul Fazlin Kamaruddin, 38.
Pada 28 November lalu pula menyaksikan Pengacara rancangan 999 terbitan TV3, Zakiah Anas yang memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Mohamad Yusof Mohamad Taib, 46, terpaksa menunggu hampir sebulan lagi untuk mendengar kes berkenaan kerana suaminya tidak hadir.
Kes-kes Bercerai
1. Penyanyi, Azharina Azhar atau Azharina, 23 — Datuk Sukri, 50 (Februari).
2. Penyanyi, Farah Asyikin Zulkifli atau Farah Asyikin, 28 — Dr Fariz Yahya, 30 (26 Mei).
3. Pelakon, Nor’ Ashikin Karman atau Norish Karman, 34 — Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60 (15 Julai).
4. Penyanyi, Siti Fairus Sheikh Mohamed atau Siti Fairuz, 44 — Mohamad Zainuddin Kordi, 45 (14 Julai).
5. Pelakon, Nora Mohd Danish Hanif atau Nora Danish, 26 — Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 38 (12 Ogos).
6. Penyanyi Norazlina Abd Rahman atau Leina Hangat, 36 — Muhammad Jamal Delaloy Abdullah, 40 (6 Ogos).
7. Penyanyi kumpulan VE, Charma Adizalilullah Abdul Khalil atau Cham VE, 30 — Karmila Khalid, 31 (8 September).
8. Penyanyi, Tengku Anis Soraya Tengku Sulaiman atau Anis Suraya, 28 — Wan Kasmaizi Wan Kamaluddin, 28 (14 Oktober).
9. Pelakon, Emma Akma Yunus atau Emma Akma, 39 — Mohd Kamal Jaafar Sidek, 34 (29 Oktober).
10. Pelakon, Nasrizal Ngasri atau Bell, 29 — Nur Farhana Mahamad Fauri, 26 (24 November).
11. Penyanyi, Noraniza Idris, 40 — dirahsiakan. (Tarikh tidak diketahui)
Kes-kes Bergolak
1. Pelakon, Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim, 32 — Pelakon, Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi, 30.
2. Pelakon, Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego, 28 — Intan Shahira Mohd Shahru, 27.
3. Jamaluddin Elias atau Nash, 48 — Sosilawati Lawiya, 44.
4. Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, 46 — Nor Radhiah Ramli, 22.
5. Penyanyi dan pelakon, Mohd Radhi Razali, 31 atau Radhi OAG — Shazlin Sharif, 30.
6. Penyanyi, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25 — Penulis lirik, Jamaludin Sulik atau Seri Bayu, 43.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan