HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 November 2008

Pesawat tentera khas bawa balik penumpang terkandas di Bangkok

BERNAMA
[DIKEMAS KINI]


BANGKOK: Kedutaan Malaysia di Bangkok sedang mengatur untuk menyediakan sebuah pesawat tentera khas bagi membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di Bangkok berikutan dengan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang di ibu negara ini ditutup sejak Isnin lepas oleh pemprotes anti-kerajaan.

Seorang jurucakap kedutaan berkata mereka yang mampu untuk pulang dengan pesawat komersial dinasihatkan berbuat demikian kerana tempat duduk di pesawat khas ini adalah terhad.

"Bagi penerbangan tentera khas, semua rakyat Malaysia yang memerlukan dinasihati menelefon nombor hotline kedutaan untuk mendapatkan maklumat dan penyelarasan terkini. Kita akan memaklumkan dengan segera mengenai pelepasan pesawat tentera itu," katanya.

Memandangkan keadaan tidak menentu di Bangkok, kedutaan itu telah membuka bilik operasi yang dibuka 24 jam dan nombor yang boleh dihubungi ialah (+66) 2629 6808 atau (+66) 2629 6800 samb. 4106.

Pegawai itu berkata mereka yang ada tiket Malaysia Airlines (MAS) hendaklah menghubungi syarikat itu kerana ia akan beroperasi pada Jumaat, sebuah pesawat dari Kuala Lumpur ke Utapao, berhampiran dengan Pattaya untuk membawa balik beratus-ratus penumpang di Bangkok.

Pengurus Kawasan MAS bagi Thailand, A. Vijayakumaran, berkata dua lagi penerbangan akan beroperasi Sabtu ini, menggunakan pesawat Airbus dengan kapasiti 290 penumpang, berbanding muatan biasa iaitu 144 orang.

Jabatan Penerbangan Awam Thailand bersetuju membenarkan penerbangan ini menggunakan lapangan terbang itu, yang terletak kira-kira 140km dari Bangkok, berikutan dengan penutupan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang di ibu negara ini sejak Isnin lepas oleh pemprotes anti-kerajaan.

Vijayakumaran berkata pesawat MH782 pada Jumaat akan berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 3.15 petang dan tiba di sini pada pukul 16.20 petang (waktu Thai), sementara MH783 akan berlepas pulang pada pukul 5.10 petang dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 8.15 malam.

Pada Sabtu, MAS akan beroperasi dengan dua pesawat, bermula dengan MH784 berlepas pada pukul 9.10 pagi dan tiba di sini pada pukul 10.15 pagi (waktu Thai) dan berlepas pulang dengan MH785 dari Utapao pada pukul 11.10 pagi.

Pesawat kedua (MH788) akan berlepas dari KLIA pada pukul 12.25 tengah hari dan tiba pada pukul 1.30 petang sementara pesawat pulang (MH789) dijadual berlepas pada pukul 2.15 petang (waktu Thai) dan tiba di KLIA pada pukul 5.25 petang.

Untuk pertanyaan, mereka boleh menelefon pejabat MAS di Bangkok (+66) 2263 0572 atau (+66) 2263 0565 sehingga 71 (hunting line), serta Pusat Panggilan 24 jam MAS di 1 300 88 3000 di Malaysia.

Tiada ulasan: