HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 November 2008

Politik wang: Muhd Taib serah pada lembaga disiplin

Muda Mohd Noor


Calon timbalan presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyerahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk menyiasat dakwaan bahawa ada calon bagi jawatan tersebut yang terbabit dalam politik wang.

Pada masa yang sama, beliau yang juga ketua penerangan Umno berkata, Umno juga perlu mewujudkan satu cara pemilihan yang boleh mengelak berlaku politik wang.

"Cara-cara yang menyebabkan politik wang, perlu dihapuskan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan satu pemeran lukisan di ibunegara hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan mantan presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa terdapat aduan calon timbalan presiden dalam terbabit politik wang.

Muhd Taib yang juga pengerusi Umno Selangor, bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila ditanya sama ada Dr Mahathir patut mendedahkan nama calon terbabit.

Perhimpunan agung Umno Mac depan akan turut menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan Umno.

Selepas 186 daripada 191 bahagian Umno selesai bermesyuarat, Datuk Seri Najib menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden Umno.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, selain Muhd Taib, turut layak bertanding ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi jawatan naib presiden pula, lapan orang layak bertanding. Mereka ialah Datuk Hishammuddin Hussein, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Khaled Nordin, Datuk Shafie Apdal, Datuk Syed Hamid Albar, Tan Sri Isa Samad, Datuk Jamaluddin Jarjis dan Datuk Rais Yatim.

Lima lagi bahagian tidak dapat bermesyuarat dalam tempoh sebulan yang diperuntukkan sebelum ini - 9 Oktober hingga 9 November - atas masalah teknikal.

Ibupejabat Umno telah mengarahkan kelima-lima bahagian tersebut mengadakan mesyuarat mereka bulan ini.

Jawatan ketua Wanita juga bakal menyaksikan pertembungan antara penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz dengan Naibnya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil.

Tiada ulasan: