HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2008

Guan Eng tolak desas desus tukar Timbalan Ketua Menteri I

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menolak sebarang desas desus akan berlaku rombakan pentadbiran dalam kerajaan negerinya melibatkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin.

"Buat masa ini tidak ada apa-apa cadangan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana jawatan Timbalan Ketua Menteri I akan dilantik oleh PKR.

"Kerana saya masih belum mendapat apa-apa makluman, saya rasa perkara ini tidak berbangkit," katanya kepada media selepas menghadri Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari ini.

Tambah Lim lagi, isu berkaitan lantikan bagi jawatan tersebut seharusnya dirujuk kepada pimpinan PKR.

Beliau berkata demikian bagi mengulas khabar angin yang tersebar di internet yang mengatakan jawatan berkenaan akan digantikan ekoran kritikan negatif mengenai prestasi timbalannya itu.

Menerusi tulisan di beberapa blog, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu dikritik hebat kerana didakwa tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan Pulau Pinang.

Dalam penjelasannya, Lim berkali-kali menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan dalam pentanbirannya kerana tidak mempunyai sebarang cadangan mahupun tuduhan mengenai Fairus daripada PKR.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan pencapaian Fairus setakat ini, beliau berkata sebagai pemimpin mereka tidak boleh ada sifat mudah berpuas hati.

"Kami fikir kami nak buat yang terbaik, kalau kita cepat puas hati maknanya kita tak boleh buat dengan lebih baik lagi.

"Jadi kami akan buat yang terbaik untuk kita buat perubahan," katanya.

Tambah beliau, Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS akan terus berusaha dengan baik sebagai satu kumpulan.

"Kerjasama ini bukan sahaja dalam kerajaan, malah dalam parti.

"Kami kerja dalam kumpulan yang ada tiga kumpulan di dalamnya yang digabungkan menjadi satu," katanya.

Tiada ulasan: