Oleh Iskandar Shah Mohamed
AMPANG: Puluhan warga asing yang asyik menikmati makan malam bertempiaran lari sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam operasi bersepadu anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), malam tadi.
Operasi khas selama tiga jam bermula jam 8.30 malam itu memfokuskan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin dan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Rela dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Dalam operasi di dua lokasi sekitar daerah ini, sebuah pusat hiburan milik warga Afrika disita selepas didapati masih berdegil beroperasi tanpa lesen walaupun diberi amaran oleh pihak berkuasa sebelum ini.
Pengarah Penguat Kuasa MPAJ, Addy Hissham Elias, berkata operasi dijalankan hasil aduan awam yang memaklumkan ratusan warga asing sering menimbulkan kekecohan dan melakukan perkara tidak senonoh di sekitar flet Pandan Mewah di sini.
“Bertindak atas maklumat itu, MPAJ menyerbu sebuah restoran di kawasan berkenaan yang dikenal pasti menjadi pusat berkumpul dan mencekup puluhan warga asing.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati 18 daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.
Menurutnya, MPAJ menyita puluhan kerusi dan meja yang diletakkan di luar restoran terbabit iaitu di kawasan padang perumahan.
Addy berkata, dalam serbuan berasingan di Dataran Palma di sini, pihaknya menyita sebuah pusat hiburan kerana didapati mengingkari arahan dan beroperasi tanpa lesen sejak tiga minggu lalu.
“Kami sudah memproses lesen yang dipohon pemilik premis terbabit sejak Ogos lalu dan mengarahkan supaya menjelaskan pembayaran dan mengambilnya di pejabat MPAJ.
“Bagaimanapun, pemilik warga Afrika itu gagal berbuat demikian dan terus beroperasi secara haram tanpa menghiraukan tindakan undang-undang,” katanya.
Menurutnya, semua barangan premis itu disita mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Selangor (Pindaan 2001) yang boleh membawa hukuman denda penalti RM50,000 dan kompaun RM25,000.
Katanya, ketika serbuan puluhan pelanggan warga Afrika berada dalam premis terbabit dan pemeriksaan mendapati lima daripadanya masing-masing tiga wanita dan dua lelaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Semua 23 yang ditahan berusia antara 18 hingga 40 tahun dan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Shah Alam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan