HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 November 2008

Isu babi: Media harian ketandusan isu

Ramli Yamat


MACHANG - Nampaknya media harian benar-benar ketandusan isu untuk memperlekeh kerajaan Pakatan Rakyat sehingga terpaksa menjadikan cadangan menternak babi di Kedah sebagai polemik.

Sedangkan keputusan untuk menternak babi dibuat kerajaan Barisan Nasional yang diteruskan kerajaan yang ada sekarang.

Bekas anggota Exco kerajaan Kelantan, Dato' Hassan Mohamad berkata, cadangan membuka sebuah ladang menternak babi secara moden di Kedah tidak patut dijadikan isu kerana ia menjadi makanan orang bukan Islam.

Katanya, babi merupakan makanan bagi orang bukan Islam dan tidak ada sebab kerajaan mahu menyekat mereka untuk menternak babi secara lebih terkawal.

"Lagi pun ia akan diternak secara moden dengan pengurusan yang kemas tanpa melibatkan pecemaran alam sekitar. Islam hanya melarang umat Islam sahaja memakannya tetapi orang bukan Islam boleh," katanya pada ceramah Isu-Isu Semasa di Dewan Majlis Daerah Machang malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak memaklumkan kerajaan negeri terbabit telah meluluskan satu kawasan kepada sebuah syarikat swasta untuk dijadikan ladang menternak babi secara moden.

Menurut Hassan yang juga Yang Dipertua PAS Machang langkah itu diambil kerajaan Kedah bagi memusatkan ladang perternakan di satu kawasan sahaja berbanding sekarang berselerak.

"Ekoran pengumuman tersebut, media arus perdana telah memperbesarkan isu berkenaan dengan tujuan untuk memburukkan kerajaan Kedah yang dipimpin PAS," ujarnya.

Oleh itu kata beliau langkah kerajaan Kedah sepatutnya disokong kerana ia dapat menempatkan penternakan babi di satu tempat sahaja dan dikendalikan tanpa melibatkan percemaran alam sekitar.

Turut hadir di majlis itu anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dan Senator Mumtaz Mohd Nawi. - mj _

Tiada ulasan: