HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 November 2008

Nik Aziz "tidak sabar nak berhenti" jika diminta Adun Pas

BERNAMA


KOTA BHARU — Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau “tidak sabar” untuk melepaskan jawatan itu jika Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan daripada Pas memintanya berbuat demikian.

“Kalau orang Pas suruh saya berhenti, saya berhenti petang ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar mingguan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan “pada masa gemilang beliau” dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui kerajaan Kelantan.

Malahan, menurut laporan Mingguan Watan itu, golongan berkenaan mahu Nik Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Nik Aziz, 77, yang menjadi Menteri Besar sejak 1990, berkata sehingga kini beliau belum mendengar gesaan itu disampaikan kepadanya.

Katanya jika pihak yang membuat gesaan itu tidak berani memberitahu perkara itu kepada beliau secara berdepan, mereka sepatutnya berdiam diri.

Nik Aziz berkata beliau memegang Menteri Besar itu adalah kerana desakan anggota Pas yang mahukan beliau terus menerajui Kelantan.

“Orang tidak bagi pun saya turun,” katanya.

Ketika ditanya mengenai penggantinya jika beliau meletak jawatan, Nik Aziz berkata: “Saya boleh jadi ada calon (tapi) mana boleh sebut”.

Katanya beliau menyerahkan isu mengenai penggantinya itu kepada parti.

Nik Aziz juga berkata beliau bersetuju dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan senaman yoga untuk umat Islam kerana dua sebab iaitu ia melibatkan penggunaan jampi dan juga senaman itu menghubungkan manusia dengan Tuhan.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan fatwa itu di Kelantan adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Tiada ulasan: