HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 November 2008

Jangan kunjungi premis yoga - MAIJ

KOSMO ONLINE


JOHOR BAHRU - Tindakan tegas akan dikenakan kepada orang Islam yang mengunjungi premis yoga di negeri ini.

Itulah amaran keras yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kepada umat Islam di negeri ini agar tidak mengunjungi premis yoga kerana ia telah diisytiharkan haram dan menyalahi agama Islam.

Pengarah MAIJ, Datuk Zalil Baron berkata, jika pihaknya mendapat maklumat berhubung ada orang Islam yang mengunjungi premis berkenaan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

"Kita menerusi unit penguat kuasa akan memantau premis-premis tersebut dan jika didapati ada umat Islam mengunjungi premsi tersebut kita akan bertindak," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) yang mengharamkan yoga baru-baru ini berikutan terdapat tiga amalannya yang bertentangan dengan syariat Islam.

Menurut Zalil, antara tindakan yang akan diambil ke atas mereka yang berkunjung ke pusat itu ialah memberi nasihat dan jika terus berdegil tindakan undang-undang akan diambil termasuk mengheret mereka ke Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut mengingatkan pusat-pusat yoga di bandar raya ini supaya mematuhi peraturan yang disyaratkan termasuk mengelakkan orang Islam daripada menjadi pelanggan.

Datuk Bandar, Mohd. Naim Nasir berkata, amaran itu bagi mengelakkan lesen perniagaan mereka ditarik balik.

Tiada ulasan: