Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
TELUK INTAN - Bagi kebanyakan orang, bergelumang di tepian paya dan semak-samun pada tengah malam bagi mencari kelibat katak semata-mata untuk menyara keluarga bukanlah suatu pilihan pekerjaan yang menarik.
Namun lain pula halnya bagi Musa Yahya, 43, yang sejak enam tahun lalu menjadikan aktiviti menjejak katak di sekitar Langkap di sini sebagai mata pencarian untuknya menyara isteri dan tujuh anak yang masih bersekolah.
Menurut Musa, meskipun katak yang dijual sebagai umpan menangkap ikan itu tidak mendatang- kan pulangan lumayan, namun sering kali permintaan daripada kaki-kaki pancing terhadap haiwan itu mengatasi stok harian yang diperolehnya.
"Akibat gagal mencari pekerjaan yang sesuai selepas pulih daripada sejenis penyakit enam tahun lalu, dengan kudrat yang ada saya terus mencari katak-katak di sekitar kawasan ini yang sememangnya digemari kaki pancing.
"Kerja mencari yang bermula sekitar pukul 2 pagi memang memenatkan dan hasil jualannya tidaklah memberikan kesenangan, tetapi pada saya ia cukup untuk menyara kami keluarga," katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, setiap hari iaitu bermula sekitar pukul 1 hingga 4 pagi pagi, dia mampu mengumpul sekurang-kurangnya 150 ekor katak sebesar ibu jari tangan.
"Setiap bungkus mengandungi 10 ekor katak dan saya menjualkannya pada harga RM2. Pada ke- banyakan masa, ia habis dibeli sebelum tengah hari, bahkan ramai juga kaki pancing yang menempah awal," katanya.
Musa yang menetap di Kampung Attaduri di sini memberitahu, sepanjang menjalankan akti- viti menangkap katak itu, dia sering kali terserempak pemangsa haiwan berkenaan iaitu ular berbisa selain pernah dikejar babi hutan.
"Memang ada di kalangan penduduk kampung termasuk kaum keluarga mentertawakan apa yang saya lakukan, tetapi sehingga ke hari ini tujuh anak saya tidak pernah kelaparan atau diberhentikan sekolah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan