BERNAMA
CYBERJAYA: Selangor tidak akan mengikut jejak langkah kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendirikan papan tanda jalan pelbagai bahasa di negeri itu, kata Menteri Besarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang cadangan untuk berbuat demikian.
"Tidak, belum lagi (untuk pasang papan tanda pelbagai bahasa)," katanya yang enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Selangor akan turut mendirikan papan tanda jalan pelbagai bahasa seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan aritmetik antarabangsa di Universiti Multimedia (MMU) di sini hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah meneruskan cadangan untuk mendirikan papan tanda jalan pelbagai bahasa sebagai mempromosikan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia walaupun menerima bantahan daripada pelbagai pihak.
Nama jalan itu akan ditulis sama ada dalam bahasa Inggeris, Tamil, Cina, Arab dan Jawi, manakala bahasa Malaysia tetap dikekalkan sebagai menghormati sebagai bahasa kebangsaan.
Sementara itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri Selangor sedang berunding dengan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
"Ia masih dalam perbincangan dengan KTAK, dan kami akan mengadakan beberapa perbincangan sebelum perjanjian dibuat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan