HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 November 2008

Lebih 2.4 juta MyKad rosak dalam tempoh 7 tahun

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima laporan kerosakan lebih 2.4 juta keping MyKad sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2001 sehingga Oktober tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, beliau memandang serius perkara itu dan mahu agar JPN segera bertindak mencari penyelesaian bagi mengurangkan jumlah kerosakan MyKad yang dilaporkan setiap tahun.

Jelas beliau, jumlah 2.4 juta kad yang rosak itu mewakili 10 peratus daripada 24 juta MyKad yang telah dikeluarkan dalam tempoh tujuh tahun sejak pengenalannya.

Katanya, kebanyakan kerosakan berkaitan dengan kualiti bahan ia dihasilkan dan cip yang dilekatkan pada MyKad.

''Kita akan memperkenalkan bahan baru yang dinamakan polikad yang lebih keras, susah patah dan tahan lama untuk menggantikan plastik PVC yang digunakan dalam pembuatan MyKad kini,'' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program MyDaftar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung dan Ketua Pengarah JPN, Datuk Muhammad Abdul Halim Muhammad.

Beliau mendedah perkara itu sebagai menjawab rungutan banyak pihak berhubung kualiti kad pengenalan generasi baru itu.

Menurut Syed Hamid, 24,131 aduan kerosakan diterima pada tahun 2001, diikuti 24,131 pada 2002, 16,678 (2003), 22,484 (2004) dan 45,487 (2005).

Tambah beliau, bermula tahun 2006, jumlah itu mula meningkat secara lebih mendadak dengan 240,572 kes dilaporkan pada tahun itu, 769, 674 (2007) dan 888, 495 (2008).

Ditanya apakah punca peningkatan kerosakan secara mendadak itu, Syed Hamid berkata, beliau tidak dapat memberikan jawapan yang pasti.

Namun, katanya, ia mungkin disebabkan MyKad pada awal pengenalannya hanya terhad di kawasan Wilayah Persekutuan sahaja menjadikan jumlah kerosakan juga sedikit.

''Bila penggunaannya semakin meluas, mungkin sebab itu berlaku peningkatan kerosakan, perkara ini bagaimanapun perlu dibuktikan terlebih dahulu,'' katanya.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, JPN sehingga kini masih belum mempunyai sebarang maklumat berhubung jumlah sebenar daripada 24 juta pemegang MyKad yang benar-benar mengaktifkan semua aplikasi yang terkandung dalam kad itu.

Walaupun MyKad diuar-uarkan sebagai mempunyai pelbagai kelebihan, namun beliau memberikan alasan bahawa itu hanyalah fungsi kedua kad itu.

''Perkara paling penting dalam MyKad adalah untuk memastikan tidak berlaku sebarang pemalsuan kad itu,'' katanya.

Beliau juga memberitahu, kerajaan akan memperkenalkan kembali pemberian kad pengenalan hijau untuk dokumen pengenalan diri bagi orang yang dikategorikan sebagai tidak mempunyai negara.

Setakat ini, JPN mempunyai rekod 30,000 penduduk yang boleh dikategorikan sebagai tidak mempunyai kerakyatan mana-mana negara.

Tiada ulasan: