MSTAR ONLINE
PETALING JAYA: Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, pemuda yang mendakwa diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) esok pada jam 11 pagi.
Hal ini diberitahu oleh salah seorang ahli keluarga Saiful ketika dihubungi mStar Online, petang tadi.
Menurut sumber itu, kehadiran Saiful adalah berhubung laporan tuntutan qazaf (tuduhan palsu) yang dibuat oleh Anwar terhadapnya di Mahkamah Syariah pada 9 Julai lalu.
Anwar pada 7 Ogos lalu turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Damansara, di sini pada 26 Jun.
Sehubungan itu, Mohd Saiful telah diminta hadir memberi keterangan kepada JAWI berhubung tuntutan qazaf tersebut pada 19 Ogos.
Sebelum itu, pada 15 Ogos, Mohd Saiful ditemani bapanya, Azlan Mohd Lazim, melafazkan sumpah laknat (mubahalah) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan disaksikan Imam Ramlang Porigi, menyatakan dia diliwat Penasihat PKR terbabit.
Dalam sumpah laknat itu, Mohd Saiful mendakwa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar.
Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu lagi, kemunculan Mohd Saiful di JAWI esok mampu menangkis tohmahan dan laporan palsu yang tersebar sebelum ini kononnya beliau ditimpa bala dan sumpah memakan dirinya.
"Saiful perlu hadir di JAWI esok. Pada masa yang sama, beliau ingin menunjukkan yang cerita beliau ditimpa bala adalah tidak benar," jelas sumber itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan