MALAYSIA KINI
Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya merujuk Ketua Hakim Negara yang baru dilantik, Tan Sri Zaki Azmi kepada tribunal yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas dakwaan terbabit dalam amalan rasuah.
Beliau yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor sebelum in memberi tempoh seminggu kepada Zaki - mulai 18 November lalu - supaya meletak jawatan kerana didakwanya 'berbohong' apabila memperjelaskan laporan yang disiarkan dalam akhbar New Straits Times. Tarikh tersebut berakhir semalam.
Dalam laporan tersebut, ketua hakim negara itu menceritakan pengalamannya merasuah kakitangan mahkamah ketika beliau menjadi peguam.
Bagaimanapun, Zaki kemudiannya membuat penjelasan, dengan berkata wartawan yang menulis laporan itu, telah tersalah lapor kenyataannya.
"Saya memberi tempoh kepada ketua hakim negara sehingga semalam untuk meletak jawatan tetapi tidak ada tanda-tanda beliau akan berbuat demikian, (dan) kita tidak mempunyai pilihan kecuali mengambil langkah seterusnya," kata Karpal.
"Usul ini adalah untuk membincangkan salahlaku atau salahlaku kerana membuat kenyataan itu di Kuching dan sesuatu yang beliau perjelaskan kemudiannya, tetapi pada hakikatnya ia tidak betul dan kita berkata beliau telah menjejaskan reputasi keseluruhan badan kehakiman.
"Kita menggesa perdana menteri supaya menggunakan peruntukan Artikel 125(3) Perlembagaan Persekutuan... (untuk merujuk) Zaki kepada sebuah tribunal yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong... untuk memecat Zaki dari jawatan ketua hakim negara atas alasan salahlaku yang serius kerana berbohong secara terbuka dan sementara menunggu sebarang laporan dari tribunal tersebut... Zaki hendaklah digantung perkhidmatannya sebagai ketua hakim," tambahnya.
Dapat sokongan 57 MP
Sementara itu, Karpal mendapat sokongan 57 - 56 dari Pakatan Rakyat dan seorang ahi Parlimen bebas - untuk membentangkan usul hari ini bagi membincangkan dakwaan kes salahlaku Zaki di Dewan Rakyat.
Usul tersebut difailkan tengahari tadi kepada setiausaha Dewan Rakyat, dan akan dicetak pada Kertas Perintah 14 hari kemudian.
Karpal Singh juga menyifatkan tandatangan sokongan 57 ahli Parlimen tersebut sebagai sesuatu yang bersejarah.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama pihaknya mendapat sokongan sedemikian untuk membentangkan usul yang penting.
Sokongan seumpama itu, tambahnya, sukar diperolehi sebelum ini.
Dewan Rakyat mempunyi 222 ahli Parlimen, dan sejumlah 56 ahli Parlimen atau satu perempat, diperlukan untuk membincangkan isu membabitkan hakim.
Seramai 81 ahli Parlimen adalah dari Pakatan rakyat dan tandantangan 56 ahi Parlimen itu dikutip dalam masa setengah hari.
Peraturan mesyuarat 36 (8), menyatakan antara lain, kelakuan hakim-hakim mahkamah tidak boleh disebutkan kecuali dengan dikeluarkan usul bersendiri bagi maksud-maksud itu, di mana Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan dipatuhi.
Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kelakuan seseorang hakim tidak boleh dibincangkan di dewan kecuali mendapat sokongan satu perempat ahli Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan