HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 November 2008

Penyokong BN tidak puas hati jawapan timbalan menteri

MALAYSIA KINI


Seorang penyokong kerajaan hari ini melahirkan rasa kurang senang dan tidak puas hati terhadap jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad pada sesi soal
jawab di Dewan Rakyat yang disifatkannya tidak membawa sebarang erti.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) merasakan jawapan Noraini itu hanya panjang berjela tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah kesukaran rakyat negara ini mendapat pekerjaan.

"Jawapan panjang tapi tak sampai ke lubuk hati. Negara ini dikatakan syurga bagi warga negara asing mencari nafkah tetapi neraka bagi rakyat kita sendiri, jadi jawapan ini tidak menyelesaikan masalah.

"Sebenarnya kerajaan kita perlu memperjuangkan supaya rakyat negara ini dapat tangga gaji yang munasabah iaitu lebih tinggi daripada miskin tegar dan rakyat negara ini harus diutamakan, kenapa kita mesti utamakan pelabur luar tapi rakyat negara ini sengsara nak mencari pekerjaaan," katanya yang tiba-tiba bangun ketika Noraini sedang menjawab soalan Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit).

Menurut laporan Bernama, Aaron Ago ingin tahu antara langkah kerajaan bagi mengatasi dakwaan yang sering dilaungkan oleh kesatuan sekerja dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bahawa kerajaan tidak mengambil berat ke atas isu gaji minimum.

Terdahulu ketika menjawab soalan Aaron Ago, Noraini (foto) berkata terdapat sepuluh Majlis Penetapan Gaji (MPG) yang telah ditubuhkan pada tahun 2006 dan 2008 yang memberi perlindungan kepada 1.33 juta pekerja di seluruh negara.

"Antaranya ialah MPG Pengawal Keselamatan Swasta di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; MPG Pembantu Klinik Swasta di Semenanjung dan Sabah serta MPG Pekerja Am di Kebun Kecil di Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan juga menggalakkan majikan memperkenalkan sistem upah berdasarkan kepada produktiviti supaya dapat menjamin daya saing dan kualiti pekerja," katanya.

Tiada ulasan: