HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 November 2008

Permit demonstrasi bogel: "Bogellah di bilik rumah sendiri" - KP Selangor

BERNAMA


SHAH ALAM: Polis menegaskan tidak akan melayan sebarang permohonan permit daripada Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) jika mereka bercadang mengadakan demonstrasi berbogel di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar bagaimanapun berkata, pihaknya akan menunggu permohonan permit daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang komen.

"Kita tunggu dan lihat permohononan permit bagi mengadakan demonstrasi ini...nak tengok macam bogel mereka nak buat...tak kan lah orang nak memohon semata-mata untuk berbogel.

"Kalau niat mereka semata-mata untuk itu (berbogel di khalayak umum), maka polis tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan daripada mereka...kalau nak bogel, bogellah di bilik rumah sendiri...yang itu boleh," kata beliau kepada pemberita selepas menerima alat ujian saringan awal air kencing bagi mengesan penyalahgunaan dadah jenis ketamin daripada Persatuan Jaksa Pendamai (JP)Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPPK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar barubaru ini yang mahu meneruskan demonstrasi berbogel itu sebagai tanda bantahan kepada kerajaan negeri yang menaikkan kadar sewa penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) daripada RM124 kepada RM250 sebulan. Ada ura-ura mengatakan bahawa Reformis akan menghantar permohonan untuk mendapatkan permit tersebut ke IPPK Selangor lewat petang ini.

Mengenai alat itu, Khalid berkata polis kini mempunyai alat ujian saringan bagi menguji dadah jenis ketamin dalam sampel air kencing penyalahguna dadah tersebut.

"Ramai penyalahguna dadah mengambil kesempatan mengambil dadah jenis ketamin dengan tanggapan bahawa pihak berkuasa tidak ada keupayaan bagi menguji kandungan ketamin dalam sistem badan mereka.

"Jadi sumbangan alat ini memanglah kena pada masanya untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah," katanya sambil menambah polis kini dalam proses mnedapatkan alat ujian saringan ketamin ini dan kemungkinan mendapat bekalan secukupnya awal tahun depan.

Sementara itu, Khalid berkata Polis Selangor mendapati penggunaan dadah jenis syabu menjadi kegemaran kebanyakan golongan belia berumur dalam lingkungan 19 hingga 29 tahun.

"Disebabkan bekalan dadah tradisional seperti heroin sukar didapati sekarang, maka pengguna sekarang lebih gemari mengambil syabu," kata beliau sambil menambah polis berjaya merampas sebanyak 66 kilogram dadah jenis Syabu di Selangor sehingga bulan lepas.

Tiada ulasan: