HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 November 2008

Indonesia turut bahas isu yoga

SOPHA SULAIMAN


JAKARTA - Pengharaman senaman yoga terhadap umat Islam di Malaysia oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Sabtu lepas turut menjadi perbahasan di Indonesia.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) akan mengadakan perbincangan mengenai kontroversi senaman yoga minggu depan bagi mengkaji sama ada senaman itu mengamalkan mantera atau bacaan tertentu yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

Ketua MUI, KH Maaruf Amin berkata, sebuah jawatankuasa khas dibentuk untuk membincangkan isu halal atau haram yoga minggu ini kerana terdapat pelbagai kontroversi mengenainya.

''Jika ada mantera yang dibacakan dalam senaman itu mengandungi perkara syirik seperti menyekutukan Tuhan, ia sudah tentu akan menjadi persoalan,'' katanya dalam wawancara di stesen TV One hari ini.

Menurut Maaruf, senaman yoga tidak mempunyai masalah kerana ia seperti juga olahraga lain, tetapi yang ingin dilihat amalan mantera yang mungkin merosakkan keyakinan umat Islam.

Sebelum ini, Anggota Jawatankuasa Parlimen daripada Parti Keadilan Sejahtera (PKS) meminta MUI tidak mengenepikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan di Malaysia berhubung pengharaman senaman yoga.

Katanya, ulama Malaysia tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa itu dan sudah tentu mempunyai sebab mengharamkan yoga kerana ia menyangkut akidah orang Islam.

''Ia bukan masalah ikut-ikutan atau tidak, tetapi ia berhubung soal akidah,'' katanya dalam akhbar talian Detik.com semalam

Tiada ulasan: