HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 November 2008

BPR siasat Exco NS

Oleh Hussain Said


SEREMBAN: Seorang Ahli Exco Negeri Sembilan disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan menyogok Ketua Puteri Umno sebuah bahagian di negeri ini sebanyak RM500 pada pemilihan jawatan tertinggi bahagian itu, bulan lalu.

Ahli Exco itu juga dikatakan memaksa Ketua Puteri berkenaan menandatangani surat perakuan palsu yang mendakwa pencabarnya terbabit dalam politik wang.

Pengarah BPR negeri, Roszaini Abu, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima aduan itu dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan sebelum sebarang tindakan diambil terhadap Ahli Exco terbabit.

"Kita menerima banyak aduan politik wang, termasuk daripada Ketua Puteri itu berhubung kes membabitkan Exco berkenaan," katanya.

Exco terbabit bagaimanapun tewas dalam perebutan jawatan yang ditandingi pada pemilihan berkenaan.

Difahamkan, Ketua Puteri itu juga mengemukakan aduan kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berhubung kes itu.

Sebelum ini, pada 2 September lalu, Naib Ketua Umno Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas dua tuduhan merasuah seorang ketua Umno cawangan sebagai dorongan supaya mencalonkannya sebagai ketua Umno bahagian itu.

Mohd Nor yang juga ahli perniagaan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan beliau tidak layak bertanding jawatan Ketua Umno bahagian itu walaupun mendapat pencalonan mencukupi.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail, mahu tindakan tegas diambil bagi memastikan Umno tidak berkubur akibat rasuah politik.

"Saya ada menerima aduan beberapa pengadu kecewa kerana laporan yang dibuat, terutama kepada BPR tidak diambil tindakan akibat sekatan dan arahan pihak tertentu," katanya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek, pula mahu gejala itu dibanteras habis-habisan bagi mengelakkan ia menjadi barah hingga menghancurkan parti.

"Kita mahu pemimpin yang dipilih menerajui parti, bersih dan amanah supaya perjuangan kita tidak tersasar dan parti dihormati semua pihak," katanya.

Tiada ulasan: