Oleh G.MANIMARAN
KUALA TERENGGANU: Proses penamaan calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu tidak menyaksikan kekecohan besar, sebaliknya, dikejutkan dengan gelagat mereka yang meletakkan hasrat untuk bertanding.
Ketika Naib Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun Mohamed memutuskan untuk mengubah fikiran tidak bertanding walaupun sudah memasuki dewan penamaan calon, calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam pula kelam-kabut ekoran masalah teknikal.
Dalam suasana panas terik, beliau terpaksa mencari penyokong gantian - yang sepatutnya harus terdiri daripada seorang pengundi berdaftar dalam bahagian Parlimen Kuala Terengganu - dalam himpunan manusia kira-kira 25,000 orang di luar Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud di sini.
Azharudin memasuki dewan penamaan calon pada pukul 9.30 pagi tetapi terpaksa keluar dewan penamaan calon 10 minit kemudian dalam keadaan tergesa-gesa ketika Harun pula mengadakan sidang media menjelaskan sebab beliau tidak mahu bertanding.
Apabila diserbu wartawan, Azharudin hanya sempat menyebut namanya dengan singkat sambil menyatakan bahawa "sedang mencari penyokong kerana ada masalah."
Azharudin, seorang ahli perniagaan di sini, sekali lagi cuba mengelak wartawan dengan memasuki kawasan larangan pasukan keselamatan, sekali gus meneruskan misi mencari penyokong pengganti di kawasan yang menjadi himpunan rombongan Barisan Nasional (BN).
Kesungguhan Azharudin memperlihatkan hasil dan beliau memasuki semula dewan penamaan calon kira-kira lima minit sebelum tamat tempoh penamaan calon.
Penyokong pengganti beliau ialah Zakaria Abdullah.
Menurut Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mat Razali Kassim, borang penamaan calon beliau diterima pada pukul 9.58 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 hingga 10 pagi untuk sesi penamaan calon manakala sesi bantahan pula dari 10 hingga 11 pagi.
Azharudin, bapa kepada sembilan orang anak, akan bertanding menggunakan lambang buku - menentang dua calon parti gergasi iaitu BN dan PAS.
Isma Airfath Hassanuddin, peniaga getah sekerap yang pernah menyatakan hasrat untuk bertanding pula tidak muncul di dewan penamaan calon.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan