Oleh G.MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]
KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian terbuka dalam isu pelaksanaan undang-undang hudud, atas dasar bahawa ia tidak terpakai keatas masyarakat bukan Islam.
Namun kata beliau yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, soal pelaksanaan undang-undang Islam itu boleh dibincangkan kerana belum ada butiran terpeinci daripada PAS.
"Sebagaimana yang dikatakan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ia hanya terpakai kepada umat Islam dan keduanya, semua langkah-langkah baru yang akan dibuat akan dirujuk kepada Pakatan Rakyat supaya bersepakat.
"Adakah ia satu masalah?" katanya.
Tambah beliau: "Biar kita lihat dulu pada butiran terpeinci."
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.
Kata beliau, masyarakat Islam ada hak untuk menimbangkan beberapa peruntukan yang sesuai untuk mereka mengikut perkembangan semasa secara berperingkat.
"Untuk memberikan jawapan secara bulat-bulat mungkin mengelirukan kerana ia boleh disalah tafsif," kata penasihat PKR itu.
"Apa yang saya hendak katakan ialah biar kita lihat apakah peruntukan yang spesifik dan akhirnya berdasarkan pengalaman di Terengganu dan Kelantan, Dr. Mahathir (bekas Perdana Menteri) telah menolak bulat-bulat kerana tidak meminda perlembagaan.
"Tetapi saya tidak mengambil pendirian seperti itu. Saya berkata adalah lebih baik melihat kepada cadangan khususnya sama ada boleh dilaksanakan dan bila ia akan dilaksanakan," katanya.
Mengulas pendirian LIm Kit Siang yang menolak undang-undang hudud itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, apabila PAS menyatakan secara umum, penasihat DAP itu juga memberi reaksi secara umum.
"Saya tiada halangan untuk dibincang di Pakatan Rakyat apabila ada cadanyan yang spesifik," katanya.
Terdahulu Anwar berjanji tidak akan mengenakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam jika meneraju kerajaan pusat.
Jelas beliau, pihaknya tidak akan memaksa masyarakat bukan Islam di bawah penguatkuasaan undang-undang hudud.
"Tiada niau untuk memaksa mereka (bukan Islam) tunduk kepada hudud," katanya ketika berucap pada ceramah perdana sulung di sini, malam tadi.
Ia merupakan ceramah besar pertama selepas penamaan calon bagi pilihan raya kecil Kuala Terenggani pagi semalam.
Malah ia juga adalah kenyataan pertama Anwar mengenai hudud sejak ia muncul dua minggu lalu.
Turut hadir berucap adalah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Ketua Pembangkang di Parlimen itu mengakui bahawa memang wujud masalah perbezaan pandangan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.
"Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ada pandangan yang berlainan tetapi Umno yang menggunakan media untuk mengelirukan.
"Ronnie Liu (daripada DAP) mungkin kata Kristian adalah lebih baik manakala saya kata Islam lebih baik.
"Tetapi umumnya kami mempunyai matlamat sama untuk menjadikan negara lebih baik," katanya.
Isu undang-undang hudud dibangkitkan oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam satu forum di Kota Bahru lebih dua minggu lalu.
Dalam forum tersebut, Khairy meminta Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyatakan pendiriannya mengenai hudud dan Husam menegaskan parti itu akan melaksanakan hudud dan qisas sebaik sahaja pakatan pembangkang memerintah negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan