HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Januari 2009

Ketenteraman awam: Wan Mutalib kecam Muhammad Taib

Intan Abdullah


KUALA TERENGGANU -PAS mengecam kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib berhubung situasi pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Mutalib Embong berkata Muhamad tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan keresahan pada rakyat Kuala Terengganu.

"Saya bimbang dengan kenyataan pemimpin BN yang mendahului perkataan menyangkal ketenteraman pilihan raya kecil yang bakal diadakan pada 17 Januari akan datang," katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu baru-baru ini.

"Ia sebuah bandaraya, mempunyai strata yang baik, iaitu mereka boleh berfikir dengan matang dan rasional.

"Pemimpin Umno tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan berbentuk andaian bahawa akan berlaku ketidaktenteraman melainkan pihak Umno-BN yang telah bersedia untuk membuat provokasi," ujarnya.

Umno-BN katanya telah menggunakan jentera polis khususnya polis cawangan khas atau SB dan tenaga lain yang mula mencari maklumat, mengutip rahsia serta mengenal pasti tempat-tempat yang boleh diwujudkan provokasi.

"Malanglah jika hal tersebut terjadi, kerana rakyat akan membuat kesimpulan mudah disebabkan calon BN iaitu Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri yang berkuasa ke atas pihak polis serta anggota keselamatan," katanya lagi.

Beliau turut menceritakan penempatan-penempatan yang begitu banyak sekali didirikan bagi tujuan menjayakan gambaran buruk pemimpin Umno-BN berkenaan.

"Peristiwa yang sama terjadi pada pilihan raya kecil Dun Binjai 1983 apabila polis digerakkan secara besar-besaran sehingga meletakkan masyarakat dalam keadaan takut dan resah gelisah.

"Kalau pun hendak buat kawalan, janganlah ianya menggambarkan gerakan yang eksesif dan agresif sehingga menyebabkan rakyat berfikir mereka berada dalam keadaan terancam, tidak tenteram seolah-olah suatu huru-hara akan berlaku di tempat mereka," ujarnya lagi.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk itu berkata, khemah kawalan polis dipasang di merata-rata sehingga ia kelihatan begitu banyak sehingga ke dalam pusat-pusat pengundian.

"Saya minta agar polis jangan menampakkan penempatan yang berlebihan dalam kawasan tempat pengundian," katanya lagi. - azm _

Tiada ulasan: